Rakyat Kelantan tidak mudah terpedaya taktik PAN

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pendekatan lapuk dan ketinggalan zaman, politik memperbodohkan rakyat, tiada kekuatan sendiri serta peluang pada PRU14.
 
Demikian ulasan Pengurus Besar Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Dr Mohd Fauzi Shaffie terhadap kedudukan semasa PAN.

Menurutnya, pendekatan PAN sudah tidak diterima pengundi kerana zaman sudah berubah, sedangkan cara politik Datuk Husam Musa dan Datuk Wan Rahim Abdullah sudah lapuk.

"Politik cuba memperbodohkan rakyat seperti menyatakan 10 wakil rakyat PAS akan menyertai PAN, tetapi kemudian menyatakan maksud beliau ialah nilai seorang wakil rakyat PAN sama nilai 10 wakil rakyat PAS, (itu cara politik) sudah lapuk.

"Begitu juga politik meuar-uar kononnya ramai pemimpin dan ahli PAS akan sertai PAN, sedangkan hakikat yang berlaku tidak seperti didakwa, ini juga tidak akan membawa PAN ke mana-mana," ujar beliau.

Menurutnya, pemimpin PAN terus mengulangi pendekatan mengumumkan nama-nama individu yang menyertai parti itu, tetapi orang berkenaan tidak ada pada majlis pengisytiharan.

Begitu juga katanya, mereka asyik bersandar pada pihak tertentu misalnya menamakan bangunan mereka sebagai Wisma Tok Guru menunjukkan tiada kekuatan sendiri.

"Bermakna, PAN hanya indah khabar dari rupa dan tidak ada kekuatan yang diperlukan untuk membolehkan menang di Kelantan pada PRU14. Kepimpinan PAN Kelantan juga bermasalah.

"Setahun ditubuhkan, tapi ahlinya sedikit untuk sebuah parti menang pilahan raya. Lagipun, Husam dan Wan Rahim diseliputi kontroversi dan punya agenda peribadi.

"Jadi bagaimana dengan krisis kepimpinan ini mahu dapat kepercayaan rakyat, tambahan wujud pemimpin tertentu dipercayai penganut fahaman Syiah," ujar Dr Fauzi.

Jelasnya, perkara seperti itu sukar diterima rakyat Kelantan yang bijak berpolitik dan kuat pegangan kepada ajaran Islam.

Beliau berharap pemimpin PAN kembali ke landasan Islam sebenar dan tidak membiarkan diri diperguna golongan menolak Islam seperti DAP. – HARAKAHDAILY 21/9/2016

Share on Myspace