Mursyidul Am: Ustaz Ahmad mahu beri laluan

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Datuk Ahmad Yakob ingin kekal jawatannya kini kerana mahu memberi laluan kepada orang lain yang lebih layak.

Beliau berharap perkara itu berlaku walaupun dalam perlembagaan parti membenarkannya menjawat jawatan itu.

"Kalau boleh saya mahu terus kekal menjadi Timbalan Mursyidul Am PAS.

"Setakat ini saya masih Timbalan Mursyidul Am dan pohon sahabat lain ambil jawatan itu, kerana masih ramai yang layak dalam kepimpinan PAS ini," ujarnya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung dirinya yang disebut bakal menggantikan Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia, Jumaat lalu.

Ketika ditanya berkaitan penolakan itu beliau berkata, banyak tugasan lain yang telah disandangnya termasuk Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada 15 anggota Majlis Syura Ulamak membuat keputusan dalam mesyuarat pertama dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, Ustaz Ahmad dijangka dilantik sebagai Mursyidul Am PAS berdasarkan sejarah sejak Majlis Syura Ulamak ditubuhkan.

Kata Takiyuddin, ikut sejarah dan harakinya timbalan yang akan dilantik sebagai Mursyidul Am.

Ustaz Ahmad seterusnya berkata, calon Mursyidul Am memang ada, tetapi beliau tidak mahu menyatakannya secara terbuka.

"Calon memang ada, tapi mana boleh saya umumkan secara terbuka. Tunggulah keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat nanti," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 21/9/2016

Share on Myspace