Noh perlu dapat maklumat tepat projek PR1MA

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dingatkan mendapatkan maklumat tepat projek perumahan mampu milik Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar A Samad, berkata kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan PR1MA dan terdapat beberapa cadangan sudah dipersetujui dalam usaha membina lebih banyak kediaman mampu milik.

“Kerajaan negeri dan PR1MA bersetuju dengan bilangan rumah mampu milik atau Rumah Selangorku yang PR1MA perlu bina. Kerajaan negeri juga membenarkan sebuah projek Rumah Selangorku di Cyberjaya dijadikan projek PR1MA.

“Tan Sri Noh kerap menyerang kerajaan negeri mungkin disebabkan beliau sebagai menteri tidak mempunyai agenda perumahan rakyat yang besar. Yang ada adalah dari menteri sebelum ini.

“Kalau setakat tuduh tanpa fakta terperinci, itu bukan standard menteri tapi standard ketua Umno cawangan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Noh mengenai kerajaan negeri menimbulkan masalah berhubung pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat dirancang Kerajaan Persekutuan.

Iskandar berpendapat, Noh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai projek PR1MA di Selangor, tambahan PR1MA bukan di bawah kendaliannya tetapi terus di bawah Perdana Menteri.

“Mungkin tiba masanya PR1MA diletakkan di bawah kementerian Noh agar menteri tidak diketepikan lagi. Sekarang kami hanya mengadakan rundingan dengan PR1MA tanpa wakil kementerian.

“Terpulang kepada PR1MA untuk memberi taklimat kepada kementerian. Kerajaan negeri tidak ada masa untuk beri taklimat kepada kementerian,” katanya.

Share on Myspace