PRN Selangor: DAP usahlah gelojoh

SYED AHMAD FADHLI | .

DAP Selangor mengumumkan keputusan mesyuarat tergempar mereka untuk mendesak Pilihan Raya Negeri Selangor diadakan segera sebelum persempadanan semula SPR dapat dikuatkuasakan.

Sebelum daripada ini, Lim Kit Siang sudah menyatakan pendirian yang serupa namun ia telah disanggah oleh Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Semalam, PAN pula menyalahkan PAS sekiranya Pilihan Raya Negeri Selangor diadakan segera kerana PAS dikatakan menjadi penghalang kemenangan mereka.

PAN ini dah tiada skrip lain ke selain daripada menyalahkan PAS?

DAP yang cadang, PKR yang bantah, PAS juga yang dipersalah.

Tidak dinafikan, persempadanan semula kawasan oleh SPR seperti kebiasaan dahulunya akan menguntungkan UMNO-BN, tetapi adakah dengan mengadakan pilihan raya mengejut dapat memberi jaminan kemenangan yang serupa?

Mungkin, DAP terlupa kata pepatah Melayu ada menyebut, "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."

Silap gaya, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan PKR, DAP dan PAS akan tumbang lebih awal daripada Kerajaan Negeri lain pimpinan BN.

Lagipun, untuk mentadbir negeri mestilah menang dengan jumlah kerusi majoriti kerana setakat ini Formula 1 Adun Kuasa 10 itu masih belum lagi digunapakai dalam sistem demokrasi di dunia ini melainkan PAN Kelantan. – HARAKAHDAILY 21/9/2016

Share on Myspace