Papisma menyokong usul pindaan Akta 355

HARAKAHDAILY | .

KETIKA mana dakyah ekstremisme dan fitnah kejahilan terus menghimpit umat dan institusi Islam dari segenap penjuru, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) teguh dan percaya bahawa usul pindaan Akta 355 perlu didokong serta disokong oleh semua. Ini adalah kerana, usaha tersebut manifestasi kesyumulan Islam sebagai cara hidup yang dijamin selamat dan sejahtera oleh Allah SWT serta diperjuangkan bertepatan dengan lunas demokrasi dan perlembagaan negara.

Daripada perspektif bidang kuasa, pindaan terkini Akta 355 adalah 32 tahun yang lalu apabila Mahkamah Syariah diberi punca kuasa untuk menjatuhkan hukuman maksimum berupa denda tidak melebihi RM 5000, penjara tidak melebihi 3 tahun dan sebatan tidak melebihi 6 kali.

Ini bermakna sejak penggubalannya pada tahun 1965 sehingga ke hari ini, Mahkamah Syariah belum diberi kuasa untuk melaksanakan tuntutan syariat yang selayaknya bagi kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasanya. Oleh itu, usul persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah diperkasa selaras dengan semangat Perlembagaan Malaysia bahawa Islam adalah agama persekutuan.

Perlu disedari bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Malaysia tidak meliputi hukuman mati, potong tangan atau jenayah rogol serta hanya terpakai untuk orang Islam sahaja. Oleh itu, polemik di sekitar pelaksanaan hudud perlu dijernihkan bagi menghindari fitnah dan kekeliruan yang berterusan.

Secara tuntasnya pindaan RUU 355 akan membolehkan setiap Dewan Undangan Negeri untuk mewartakan tuntutan syariat termasuklah Hudud bagi kesalahan-kesalahan selain di atas. Ini bermakna, pindaan RUU 355 adalah perintis bagi mempersiapkan Mahkamah Syariah dari segi pengurusan sumber manusia dan infrastrukturnya.

Papisma menaruh sepenuh kepercayaan bahawa pindaan RUU 355 ini bakal menjadi batu asas kepada melebarnya bidang kuasa Mahkamah Syariah pada masa hadapan.  

Melihatkan pola persepsi masyarakat majmuk terhadap isu ini khususnya dan agenda perjuangan Islam amnya, Papisma mengajak rakyat Malaysia supaya bertenang dan rasional. Dalam mendepani kekusutan siasah hari ini, hindari daripada menjadi mangsa politik picisan dan kerakusan pengamal media yang ketagih perhatian.

Tindak balas yang spontan, melulu dan sarkastik tidak akan pergi jauh kerana ia tiada unsur yang membina. Jauhkan ego dan prejudis serta imbangkan emosi untuk melihat yang terbaik daripada apa yang telah berlaku. Moga-moga ada ruang untuk bersama bekerja demi masa hadapan yang lebih baik.

Namun ini menuntut kesabaran, jiwa yang besar dan pastinya memakan masa serta payah. Maka, jambatan perlu dibina dan tembok perlu diruntuhkan.  

Justeru, Papisma menyokong pindaan RUU 355 di atas prinsip yang jelas, bersesuaian dengan iklim politik dan kebejatan sosial hari ini. Papisma juga akan terus mendokong keadilan yang ditegakkan melalui syariat Allah SWT dengan memastikan aspek kesihatan terpelihara sebagaimana lazimnya peranan pengamal perubatan di mahkamah sivil.

Sesungguhnya telah berlalu alasan untuk menolak pindaan usul ini, yang tinggal hanyalah peluang untuk menyumbang sebagai penyaksian di akhirat kelak.

DATUK DR SUHAINI KADIMAN
Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) – HARAKAHDAILY 22/9/2016

Share on Myspace