Jawatan Mursyidul Am: Pihak luar tidak perlu adu domba

SYED AHMAD FADHLI | .

PAGI ini, portal berita Malaysiakini menerbitkan artikel "Hadi, Mahfodz pilihan terbaik PAS ganti Haron?"

Umum mengetahui, Malaysiakini antara portal yang begitu bermusuh dengan PAS terutamanya selepas PAS memutuskan hubungan tahalluf siyasi dengan DAP.

Masih ingat lagi, menjelang Muktamar pemilihan PAS pada tahun 2015, portal inilah juga yang begitu sibuk berkempen bagi kelompok yang sudah terkeluar dan menubuhkan PAN itu.

Malaysiakini membuat teori spekulasi kononnya Presiden PAS akan menjadi Mursyidul Am PAS yang baru sekiranya beliau sanggup menebalkan muka dikatakan gila kuasa sambil memetik sejarah Almarhum Ustaz Yusof Rawa yang pernah menjadi Mursyidul Am PAS yang pertama dan turut memegang jawatan Presiden PAS.

Mungkin ramai yang tidak tahu, bahawasanya jawatan Mursyidul Am PAS adalah dilantik oleh Majlis Syura Ulamak, badan tertinggi dalam PAS. Jawatan ini diisi bukanlah melalui kaedah pengundian dalam Muktamar. .

Boleh rujuk Perlembagaan PAS, Fasal 8 (6)
"Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu."

Apa fungsi Majlis Syura Ulamak.?
Ia terkandung dalam Fasal 8 (1);

"Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukkan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak" dan diberi kepadanya kuasa-kuasa seperti berikut:

(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

(c) Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini.

Berapa orang ahli Majlis Syura Ulamak PAS.?
Ia disebut dalam Fasal 8 (2);

Ahli-ahli Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah terdiri daripada tidak lebih tujuh belas orang iaitu:
(a) Seorang Mursyidul ‘Am
(b) Seorang Timbalan Mursyidul ‘Am
(c) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak, dan
(d) Tidak lebih empat belas orang Ahli Majlis Syura ‘Ulamak
Siapa Ahli Majlis Syura Ulamak PAS sekarang iaitu bagi sesi tahun 2015-2020.?
1. Mursyidul Am: Dato’ Tuan Guru Dr Haron Din (hingga 16 September 2016)
2. Timb. Mursyidul Am: YAB Dato’ Ustaz Ahmad Yakob
3. Setiausaha: Dato’ Ustaz Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh
4. YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
5. Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
6. YB Ustaz Idris Hj Ahmad
7. YB Dato' Nik Mohamad Amar Abdullah
8. Dato' Ustaz Dr Mahfodz Mohamed
9. YB Ustaz Nasrudin Hassan
10. YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
11. Ustazah Dr Wahibah Tahir
12. Ustazah Dr Nazirah Mohammad
13. YB Dato' Dr Khairudin Aman Razali
14. Ustaz Hashim Jasin
15. Ustaz Taib Azamudin Taib
16. Dato' Ustaz Dr. Johari Mat
17. Dato' Ustaz Hussin Awang

Apa fungsi Mursyidul Am PAS.?
Ia dinyatakan dalam Fasal 9 (1);

Mursyidul 'Am
(a) Bertanggungjawab sebagai ketua Majlis Syura 'Ulamak bagi melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Fasal 8 (1)(a), (b) dan (c) Perlembagaan ini.

(b) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak.

(c) Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.

Kami, para ahli dan penyokong PAS segenap peringkat yakin sepenuhnya dengan kebijaksanaan Majlis Syura Ulamak untuk membuat keputusan yang terbaik bagi memilih Mursyidul Am PAS yang baru bagi menyambung tugas memimpin bahtera perjuangan ini.

Semestinya PAS tidak memerlukan arahan, panduan dan lampu hijau daripada DAP mahupun mana-mana pihak luar untuk menentukan siapa pemimpin nakhoda kami. – HARAKAHDAILY 22/9/2016

Penulis ialah Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

Share on Myspace