RUU 355: Suatu tuntutan demi kesejahteraan rakyat

SITI FARAH MOHAMED | .

Isu pindaan Akta 355 telah mengundang reaksi daripada orang ramai. Ramai yang menyokong, tidak sedikit yang menentang malah ada yang masih terpinga-pinga mengenainya. Apa jua pandangan dan hujah kita, ia haruslah berlandaskan hukum Allah tanpa menyimpang apatah lagi memasukkan unsur peribadi mahupun politik. Semua pihak haruslah bersikap adil dalam memberikan pandangan bagi membuahkan hasil yang lebih baik dalam usaha membentuk masyarakat yang sejahtera dan sempurna.

Perbincangan secara intelektual sangat diperlukan namun haruslah berlandaskan dalil naqli dan aqli yang benar. Dan inilah yang sedang diusahakan oleh PAS dengan sentiasa bersikap terbuka dan bersungguh-sungguh dalam menerang dan mencerahkan isu pindaan RUU 355 ini.

Secara dasarnya, hukuman jenayah berfungsi untuk menyelesaikan masalah sosial, maka revisi ke atas Rang Undang-undang 355 (Hukuman Jenayah Syariah) yang menuntut untuk dinaiktarafkan hukuman dan penguatkuasaan Mahkamah Syariah adalah selari dengan pembangunan masyarakat selepas tidak dibahas selama 32 tahun.

Semua pihak harus memandang serius statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang menunjukkan sebanyak 3,980 remaja bawah umur (10-19 tahun) melahirkan anak luar nikah, dengan purata 1,500 kelahiran sebulan, 50 kes sehari di seluruh negara. Apa yang lebih menakutkan adalah laporan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperlihatkan peningkatan kes rogol, 93.5% yang memangsakan remaja 13-18 tahun.

Masalah yang kian meruncing ini tidak dapat diatasi dengan sekadar memperkenalkan pendidikan seks di sekolah, mahupun dengan pengenalan Modul Pendidikan Reproduktif dan Seksual Remaja Lelaki seperti yang diunjurkan oleh LPPKN. Ini kerana rangsangan utama di luar sekolah adalah lebih besar. Perkara ini boleh dikatakan sebagai "titik bengik" yang menyebabkan semua pihak berusaha mencari penyelesaian terbaik dan undang-undang merupakan elemen penting dalam memperbaiki masyarakat.

Justeru itu, sebagai salah satu usaha dalam menangani masalah sosial yang semakin meruncing hari demi hari, Ameerah Malaysia dengan ini menggesa semua pihak terutamanya Ahli Parlimen tidak mengira latar belakang politik dan agama untuk menyokong pindaan Akta 355 apabila ia dibentangkan di parlimen pada 10 Oktober ini agar kuasa mahkamah syariah dapat dinaiktaraf sejajar dengan perintahNya

"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya maka sungguh dia telah berbuat sesat, dengan kesesatan yang nyata." (Q.S Al-Ahzab [33]: 36)

Harapan kami agar semua pihak akan terus membantu dalam usaha memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat sama ada yang Islam dan juga belum beragama Islam agar kebaikan pindaan Rang Undang-Undang 355 ini dapat difahami dengan lebih jelas dan menyeluruh. - HARAKAHDAILY 22/9/2016

Penulis ialah Pengarah Ameerah Malaysia.

Share on Myspace