Persempadanan semula: Berdepan secara anak jantan

USTAZ HANAFI ZULKIFLI | .

PAS Selangor sekali lagi menjadi sasaran fitnah oleh musuh yang mahu melenyapkan perjuangan PAS. Urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengsyorkan persempadanan semula kawasan pilihan raya, tiba-tiba PAS dituduh bekerjasama dengan Umno.

Fitnah yang sengaja dilontarkan ini dalam salah satu media cetak yang menyebutkan "Umno dan PAS bergabung untuk merampas Selangor" adalah tujuan untuk mewujudkan persepsi negatif rakyat terhadap PAS.

Reaksi ini memperlihatkan bagaimana musuh terlalu terdesak dan gerun dengan kekuatan PAS. Rakyat melihat PAS konsisten tidak "tenggelam timbul" dalam memperjuangkan Islam dan hak rakyat. Menjadikan ruang untuk memburukkan PAS tidak ada. Akhirnya hanya dengan jalan fitnah sahaja mampu mewujudkan telahan negatif terhadap PAS.

Musuh politik PAS sedar tempias kekuatan, kebangkitan dan penerimaan rakyat pada PAS di negeri Selangor sedikit sebanyak memberi kesan positif pada rakyat di negeri-negeri lain. Akibatnya bertali arus mereka merancang untuk memburukkan PAS.

Isu bergabung dengan Umno adalah modal "basi" yang sengaja dimainkan. Kita yakin mereka yang makan sesuatu yang "basi" pasti akan sakit. Sudah berulang kali Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan tiada gabungan bersama Umno.

Tuan Guru orang yang paling berhak menafikan kerana beliau adalah Presiden parti tetapi tidak dihiraukan. Sama ada tidak percaya atau sengaja tidak percaya, maka isu bergabung dengan Umno terus "diwiridkan".

Seluruh rakyat di negeri Selangor bahkan di seluruh negara tahu keprihatinan perjuangan PAS membela rakyat. Pencapaian dalam kerja-kerja Amal kebajikan dilaksanakan oleh semua ahli PAS sama ada di kawasan yang dimenangi oleh PAS atau kawasan yang PAS tidak bertanding.

Fitnah yang dilemparkan untuk memburukkan PAS tidak memberi apa-apa kesan pada gerak kerja PAS. Bahkan rakyat boleh melihat sendiri kebenarannya.

Dewan Pemuda PAS Selangor memberi ingatan pada mereka yang menyebarkan fitnah, ayuh "bertempur" di medan terbuka. Medan pilihan raya (PRU14) yang akan tiba. Jangan jadi seperti seorang yang bacul hanya dengan menyebar fitnah dan berselindung di belakang topeng media.

Walaupun PAS tidak mempunyai "kuasa 10" seperti rakan parti lain tetapi Pemuda PAS yakin dengan kebenaran perjuangan. Ini azimat perjuangan walau berbagai tekanan yang diterima.

Namun adatnya lagi kuat tekanan yang diterima, akan lagi kuat kebangkitan itu berlaku. Ibarat menekan bola di dalam air, bola hanya tenggelam sebentar dengan tekanan itu sebaliknya akan bangkit melambung tinggi. Justeru hentikan fitnah, mari berdepan secara anak jantan! - HARAKAHDAILY 22/9/2016

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor.

Share on Myspace