Persempadanan semula: Umno ‘mencuri’ di siang hari

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Umno dalam keadaan terdesak bagi menyelamatkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan cara mempergunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Justeru, Pesuruhjaya PAS Terengganu menyifatkan tindakan pecah sempadan oleh pihak SPR itu diibaratkan Umno ‘mencuri’ di siang hari.

Kata beliau, isu persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR itu hanya menyasarkan Dun-Dun yang dimenangi oleh pembangkang khususnya PAS di Terengganu.

Menurutnya, beberapa kawasan yang dimenangi PAS pada PRU13 lalu terkesan dengan tindakan tidak bermaruah itu.

“PAS Terengganu membuat bantahan secara keseluruhan kerana tujuan utama SPR dalam menentukan pecah sempadan yang dilakukan itu tidak menepati kehendak sebenar tujuan dilakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Sebenarnya, itu bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) sahaja dengan menggunakan SPR. Jadi, kita agak kecewa kerana SPR digunakan untuk memastikan kemenangan Umno BN pada PRU14 akan datang.

“Ini kerana, bukan semua Dun terlibat tetapi hanya melibatkan kerusi-kerusi Dun yang dimenangi oleh parti pembangkang dan PAS secara khususnya. Di kebanyakan peti undi yang dimenangi oleh PAS dibuang keluar dan undi-undi yang majoriti BN dimasukkan ke dalam Dun tertentu.

“Di Dun-dun yang dimenangi oleh BN tidak ada apa-apa perubahan. Jadi nampak apa yang dilakukan itu bermatlamat untuk kepentingan Umno. Ini suatu tindakan yang tidak telus.
“Ini bukan ‘mencuri’ di tengah malam tapi Umno BN mencuri disiang hari,” tegasnya pada satu sidang media di pejabat PAS negeri, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Alias Razak, Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri, Ustaz Ariffin Deraman dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri, Dr Bala Chandran GK.

Kata Ustaz Satiful Bahri, PAS akan menggunakan saluran demokrasi yang dibenarkan bagi membantah cadangan persempadanan SPR tersebut.

Katanya, pihak SPR hendaklah mengambil perhatian dengan bantahan rakyat agar dilihat adil dan telus.

“Apa pun kita akan mengambil ruang demokrasi terlebih dahulu dengan membuat bantahan di semua peringkat.

“Namun, kita harap hak rakyat dan hak pengundi dalam sebuah negara demokrasi ini bukan sahaja adil tetapi dilihat adil untuk rakyat memilih siapa yang bakal dipilih untuk memimpin mereka.

“Harap pihak SPR mengambil perhatian dengan bantahan itu dan jika tidak ada jalan penyelesaian, kita akan mengambil pendekatan lain mengikut saluran-saluran tertentu.

“Kami mendapat maklumat isu persempadanan semula ini tidak akan dibawa ke dewan (Dewan Undangan Negeri). Jika dibawa ke sidang Dun adalah juga hak kami untuk bersuara.

“Dimaklumkan selepas sahaja bantahan dibuat pihak SPR boleh terus mewartakan macam itu sahaja. Jadi apa hak kami dalam isu ini.

“Isu ini amat penting kerana bukan hanya melibatkan SPR di Terengganu tetapi di beberapa buah negeri lain seluruh negara,” jelasnya yang juga Adun Paka.

Beliau tetap yakin dan bersemangat bagi membawa PAS mencapai kemenangan pada PRU14 kelak.

“Badan Perhubungan PAS negeri akan bekerja kuat bagi mempastikan kemenangan PAS pada PRU14 akan datang, insya Allah.

“Itu (persempadanan semula) tidak menjejaskan semangat kami tetapi dilihat Umno amat terdesak sehingga terpaksa menggunakan pihak SPR untuk menjamin kemenangan mereka,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 22/9/2016

Share on Myspace