Selami dan fahami di sebalik isu gelandangan

NAZIRAH NASRUN | .

KUALA LUMPUR: Isu gelandangan di ibukota tidak boleh dipandang remeh kerana mereka berisiko tinggi mengalami keciciran dalam suasana negara menuju ke arah Wawasan 2020.

Justeru, tindakan oleh pihak yang berwajib seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Baitulmal Wilayah Persekutuan haruslah segera dilaksanakan.

"Buat masa ini perkara yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk para gelandangan ini adalah tidak mencukupi.

Contohnya di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Kuala Lumpur yang menyediakan tempat tinggal sementara untuk golongan ini sebelum mendapat sebarang pekerjaan sama ada daripada syarikat swasta atau bekerja sendiri. Mereka tidak dapat tinggal lama di situ kerana terdapat aduan kes kecurian," ujar Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Wilayah Persekutuan Haji Bakar ketika dihubungi oleh Harakah hari ini.

Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang mempunyai 200 katil serta mempunyai kemudahan bilik air, bilik solat dan pusat kesihatan dikendalikan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah. Bangunan tiga tingkat itu menempatkan pakaian percuma yang disumbangkan oleh orang awam, dan badan bukan kerajaan juga menyediakan makanan setiap hari untuk para penghuninya.

Ketika ditanya mengenai pandangan umum tentang gelandangan yang malas bekerja, beliau tidak menafikan kebenaran tersebut.

Malah katanya berdasarkan tinjauan menjelang malam, mereka kerap ditemui di tempat pengagihan makanan percuma tempat sekitar Kotaraya, Pasar Seni, Masjid Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India namun menghilangkan diri pada waktu siang.

"Sebahagian daripada mereka mempunyai pekerjaan tetapi masih lagi memilih untuk tinggal di jalanan. Ada juga segelintir daripada mereka yang telah ditipu oleh para majikan yang hanya mahu mengambil kesempatan. Namun begitu ada pula yang mempunyai gaji hasil dari pekerjaan, masih enggan berdikari untuk memasak dan sebagainya. Mereka ini mengambil jalan mudah malah nekad untuk bercampur-gaul dengan gelandangan yang lain supaya mendapat bekalan makanan percuma secara berterusan. Perkara seperti ini agak sulit untuk dirungkaikan," ulas beliau.

Menurut Haji Bakar, gelandangan di sekitar Kuala Lumpur datang dari seluruh pelusuk negara. Tujuan utama mereka adalah mengubah kehidupan masa lalu ke arah lebih baik berdasarkan sisi pemahaman masing-masing.

Ada juga dalam kalangan mereka yang telah disahkan menghidapi penyakit berbahaya seperti HIV, AIDS lantas disisihkan oleh keluarga mereka sendiri. Pelbagai latar belakang dan penceritaan kisah hidup di sebalik tindakan gelandangan ini berkelana terutamanya yang datang dari kawasan kampung, kata beliau.

"Pada pendapat saya, semua pihak harus sedar dan faham apakah isu sebenar gelandangan ini. Di situ barulah kita dapat merangka apakah tindakan yang paling sesuai untuk mengatasi setiap permasalahan yang timbul. Hal ini kerana ada di kalangan mereka yang benar-benar ditimpa kesusahan biarpun ada yang sengaja mengada-adakan cerita semata-mata untuk meraih simpati. Tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang mengambil kesempatan khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil dihadapi oleh rakyat pada hari ini," jelas Haji Bakar. – HARAKAHDAILY 23/9/2016

Share on Myspace