DAP wajar contohi Tan Sri Lee Lam Thye

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: DAP wajar mencontohi sikap bekas pimpinan parti itu Tan Sri Lee Lam Thye yang mempunyai semangat bangsa Malaysia dan tidak terlalu taksub kepada parti, demikian menurut Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman.

Beliau berkata, sikap bekas Ahli Parlimen DAP itu meletakkan perjuangannya lebih besar daripada perjuangan kepartian dan perkauman yang sering ditunjukkan oleh parti itu sejak akhir-akhir ini.

"Cuba ambil contoh bekas ahli parlimen DAP Bukit Bintang Tan Sri Lee lam Thye. Beliau adalah seorang bangsa Malaysia yang perlu kamu semua dalam DAP harus contohi," katanya kepada Harakahdaily.

Badri berkata demikian bagi memberi respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi yang menghina Mursyidul Am PAS Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din pada hari beliau meninggal dunia 16 september baru-baru ini.

Beliau bersama ahli dan kepimpinannya tidak menyenangi kenyataan Jeff Ooi itu seolah-olah ia datang daripada mereka yang tidak berpendidikan dan tidak bermoral sedangkan ianya daripada seorang wakil rakyat yang memiliki kelulusan teknologi maklumat.

"Jeff Ooi memiliki sarjana IT sepatutnya mempunyai sikap berlapang dada kepada sesiapa sahaja sesuai dengan kedudukannya sebagai MP," katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Jeff Ooi yang pakar di dalam teknologi maklumat membuat kenyataan kononya 'tweeternya' telah digodam untuk memburukannya bagi tujuan politik.

"Anda sendiri memegang sarjana IT yang tahu ilmu IT lebih baik dari Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang cuba membela dia. Saya percaya beliau  berdendam dengan orang Islam dan semua bangsa Melayu," ujarnya.

Tegasnya, rakyat negara ini sudah meluat dengan semua ahli dan pimpinan politik yang berdrama setiap hari sedangkan banyak isu yang belum diselesaikan sehingga menekan kehidupan rakyat dengan pelbagai masalah termasuklah ekonomi.

Justeru parti Ikatan atas nama dan semangat bangsa meminta Jeff Ooi segera mohon maaf secara terbuka di persidangan parlimen yang akan bermula Oktober ini.

"Sebagai orang Islam kita dianjurkan untuk memaafkan keterlanjuran individu tersebut. Kerana kita umat Islam khususnya di Malaysia mengamalkan budaya mengikut prinsip kesopanan dan kesusilaan," katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2016

Share on Myspace