PAS yakin pacu sokongan rakyat tanpa DAP

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Kerjasama PAS dan DAP tidak menghasilkan formula yang mampu menarik undi rakyat teramai akibat sikap DAP sendiri gagal memenangi hati orang Melayu, demikian menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut beliau, DAP gagal memanfaatkan usaha bersungguh PAS ketika bersama dalam Pakatan Rakyat untuk membuang wajah chauvinis yang bertempel di muka mereka hingga akhirnya PAS terpaksa menerima bahana akibat keengganan berubah DAP.

“Walaupun DAP konsisten menentang kebobrokan BN terutama berkait pengurusan kewangan dan ekonomi negara, tetapi mereka gagal memahami isu-isu negara dengan baik terutama perihal agama, hubungan antara kaum dan banyak lagi.

“Malaysia tidak mampu lagi menerima politik benci-membenci dengan fitnah dan saling mencipta provokasi serta sentimen jahat sesama rakyat,” ujarnya sebagai reaksi kepada pendirian ditegaskan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP dan parti-parti yang bersamanya.

Tegas Ustaz Nik Abduh, negara perlukan pemimpin yang sederhana, berakhlak dan amanah memikul tanggungjawab pemerintahan serta bijaksana meneraju kemajuan negara.

Jelasnya, PAS hari ini dengan gagasan kukuh membina diri melalui proses islah dan transformasi telah berjaya memperkenalkan budaya dan praktik politik baru yang diyakini mendapat sokongan kuat rakyat.

Seru beliau, sekarang adalah masanya rakyat dan parti-parti lain bersama PAS dan bukan lagi PAS dipaksa untuk mengikut rentak pembangkang atau pemerintah yang jelas telah merosakkan harapan tinggi rakyat.

Sedangkan katanya, rakyat kini benar-benar mendambakan serta berimpian tinggi mahukan segala yang terbaik untuk negara.

“Gagasan Sejahtera wujud selepas kegagalan dan pecahnya Pakatan Rakyat. Gagal akibat DAP yang menafikan hak PAS untuk meneruskan perjuangannya sendiri sebagaimana janji dalam Pakatan Rakyat.

“Jadi mengapa PAS harus mengulangi jalan yang sama? Gagasan Sejahtera adalah penerokaan kepada politik baharu yang lebih sejahtera dan mudah diterima rakyat,” ujarnya menjulang komitmen itu. – HARAKAHDAILY 23/9/2016

Share on Myspace