Menjelang kongres Rakyat: Ayuh bangkit warga kota!

NAZIRAH NASRUN | .

KUALA LUMPUR: Seluruh anggota masyarakat perlu bangkit mengemukakan isu denyut nadi rakyat agar hak mereka sentiasa terbela.

Menurut Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Haji Mohamad Noor Mohamad, perkara ini amat perlu khususnya warga kota berhak hidup dalam suasana aman damai.

"Saya menyeru semua warga kota untuk menghadiri Kongres Rakyat pada Ahad 25 September hadapan di Dewan Galeri Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Kuala Lumpur bagi mendengar pandangan dan seterusnya mengemukakan jalan penyelesaian kepada 8 isu utama yang berbangkit.

“Ia ditujukan khas kepada warga kota yang tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi termasuklah beberapa isu masyarakat umum. Dengan menghadirkan diri, kita akan dapat berbincang kaedah terbaik untuk diusulkan kepada pihak yang berwajib," ujar beliau ketika dihubungi oleh Harakahdaily.

Beliau berkata, masyarakat ibu kota sepatutnya sedar bahawa kehidupan seharian mereka kian terhimpit dari masa ke semasa. Kebajikan masyarakat kota semakin diabaikan oleh pihak berkuasa. Kita mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab dalam bidang yang berkaitan dapat melaksanakan penyelesaian segera demi kebaikan bersama.

"Seluruh warga kota harus hadir ke program ini bagi melahirkan sokongan padu. Semoga dengan kehadiran mereka, dapat memberikan tekanan kepada pihak berkuasa untuk segera menyelesaikan isu-isu tersebut," seru Haji Mohamad Noor yang juga Penasihat Kongres Rakyat.

Selain daripada itu AJK Kongres Rakyat Ustaz Nazmi Nik Din turut berkongsi pendapat bahawa majoriti warga Kuala Lumpur terdiri daripada golongan terpelajar yang datang dari seluruh Malaysia ke bandaraya Kuala Lumpur.

"Mereka harus menunjukkan contoh kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa apa sahaja bentuk kezaliman khususnya di Kuala Lumpur haruslah dihentikan.

Isu penyelewengan dan ketidakadilan mesti diperjuangkan ke tahap paling maksima menggunakan segala kepakaran dan kepandaian mereka dalam menyuarakan pandangan.

Mereka ini bukanlah orang biasa kerana mewakili golongan bijak pandai yang menetap di ibu kota," tegas beliau. – HARAKAHDAILY 23/9/2016

Share on Myspace