Selangor sumbang RM18 juta bina persimpangan bertingkat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor menyumbangkan RM18 juta menerusi pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi membiayai sebahagian kos bagi membina persimpangan bertingkat dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ke Jalan Utama 2, Puchong Utama.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kos projek menelan perbelanjaan RM28.99 juta itu turut ditanggung syarikat pemaju yang terlibat dengan pembangunan di sekitar lebuh raya terbabit.
 
“Kita sedia maklum di mana-mana perbandaran sekalipun isu utamanya bagaimana kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak swasta dapat berkerjasama untuk membentuk satu sinergi bagi mengatasi masalah trafik di kawasan berkenaan.

“Kawasan ini amat memerlukan persimpangan bertingkat supaya ada perhubungan antara LDP dengan perumahan yang sedang rancak membangun khususnya Puchong Utama, Puchong Perdana dan Batu 14,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama, hari ini.

Katanya, projek itu dimulakan 17 Febuari 2014 dan berjaya disiapkan pada 24 Ogos lalu sebelum dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya bagi mengatasi isu kesesakan teruk di kawasan berkenaan, bermula 1 Oktober ini.

Katanya, projek yang melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat sepanjang 1500 meter itu merupakan hasil inisiatif dan kerjasama MPSJ, pihak swasta, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Serdang, Noor Hanim Ismail dan ADN Kinrara, Ng Sze Han.

Turut hadir pada majlis itu, Noor Hanim, Sze Han dan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Share on Myspace