Kuala Lumpur: Kota raya gah mesti bersifat madinah

SALMIYAH HARUN | .

AMPANG: Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan sebuah kota raya yang gah mestilah bersifat madinah.

Katanya, rakyat yang menghuni kota raya seperti Kuala Lumpur mesti merasai seperti bandar yang disebut sebagai madinah.

"Iaitu bagaimana hendak menghasilkan sebuah kota raya bertamadun di mana sifat manusiawi. Tidak perlu gah dengan bertaraf dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan di Bangunan Majlis Perandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Mohd Azmi berkata, Wilayah Persekutuan merupakan refleksi sebenar negara selain ianya sebagai nadi atau jantung negara.

Sebab itulah katanya, apabila membicarakan perkembangan Kuala Lumpur ianya lebih menampakkan suara rakyat yang sebenar.

"Kerana hampir saban hari isu-isu dan masalah terus dibangkitkan oleh penghuni di kota raya ini hinggakan isu sekecil lopak air dan lorong-lorong apatah lagi persoalan-persoalan ekonomi dan infrastruktur," ujar beliau.

Sementara itu, Penyelaras Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad yang turut berucap menjelaskan kongres pada hari ini akan memfokuskan 8 isu utama antaranya pengangkutan awam, perumahan dan penempatan, jenayah dan keselamatan, pemandu teksi dan soal gelandangan. - HARAKAHDAILY 25/9/2016

Share on Myspace