Ibrah dan teladan dari Bumi Sakura

MUHTAR SUHAILI AS-SARAWAKI | .

CATATAN KEMBARA 5 HARI KE JEPUN: ‘IBRAH DAN TELADAN DARI BUMI SAKURA

Alhamdulillah, segala puji-pujian selamanya milik Allah SWT, Ilahi Rabbi, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Pada 16-20 September 2016 bersamaan 14-18 Zulhijjah 1437H, saya berkesempatan menjejakkan kaki ke Bumi Sakura, Jepun (juga dikenali sebagai Nippon (にっぽん) atau Nihon (にほん) yang bermaksud “Negara Matahari Terbit”).

Penerbangan dengan AirAsiaX dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo – Haneda mengambil masa 7 jam 30 minit. Alhamdulillah, kembara kali ini merupakan permusafiran ke negara yang ke-20 yang dilawati sehingga kini. Sebelum ini telah beroleh kesempatan untuk rehlah sambil melihat kebesaran Allah SWT ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Negara-negara Eropah, Timur Tengah, Asia Timur (Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong) dan tentunya Asia Tenggara.

Sepanjang berada di Jepun saya berkesempatan menjejakkan kaki dan singgah di tempat-tempat berikut: Haneda – Fuda – Tokorozawa – Takasaka – Saku – Iyama - Nagano – Obuse – Azusagawa – Yatsugatake – Fujiko – Fuchu – Fuda – Shinjuki – Akihabara – Euno – Yoyogi Euhara – Chofu – Fuda – Haneda. Sungguh terlalu banyak pengajaran dan keteladanan yang saya perolehi melalui rehlah singkat ini. Benarlah bahawa banyak 'ibrahnya di bumi Jepun ini. Kita boleh berjumpa 'Islam tanpa penganutnya' di sini!

Firman Allah Ta'ala di dalam Surat At-Taubah, ayat 112:

التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّهِ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

"Mereka (orang-orang beriman) itu ialah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang MENGEMBARA (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian)."

Secara jujur, banyak budaya positif masyarakat Jepun yang wajar kita contohi serta hakikatnya bersesuaian untuk diamalkan di dalam kehidupan seharian. Saya yakin dan percaya budaya-budaya ini sebenarnya budaya Islam yang dituntut oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah, cuma ia kurang diamalkan oleh para Muslimin.

Melalui tulisan ini, saya akan kongsikan 5 dari ‘ibrah kebaikan tersebut untuk kita jadikan teladan. Saya juga akan kongsikan di hujung catatan ini beberapa sisi negatif yang boleh kita jadikan sempadan.

‘IBRAH 1: KETINGGIAN ILMU SAINS DAN TEKNOLOGI

ISLAM sangat mementingkan ilmu. Setiap Muslim wajib menuntut ilmu sebagaimana Sabda Rasulullah SAW: “Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap Muslim (lelaki dan perempuan)”. Allah SWT memberikan keutamaan dan kemuliaan bagi orang-orang yang berilmu melalui firmanNya di dalam Al-Qur’an, Surah Al-Mujaadilah ayat 11: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”.

Masyarakat Jepun mengalami proses modenisasi melalui beberapa tahap iaitu dari zaman Tokugawa hingga ke zaman Meiji dan moden. Hasil daripada proses modenisasi, Jepun menjadi sebuah negara maju yang setanding Barat. Jepun mula masuk ke zaman moden bermula dari zaman Reformasi Meiji (1868-1912) dalam pelbagai aspek sama ada politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Sepanjang pengamatan singkat di Jepun, ternyata masyarakat Jepun cintakan ilmu. Budaya membaca boleh diperhatikan di mana-mana termasuk di dalam LRT, keretapi, hentian dan lain-lain. Budaya ilmu dalam masyarakat Jepun jelas menunjukkan mereka menjunjung tinggi dan mempunyai sikap hormat kepada pelajaran dan mempunyai sikap ingin tahu yang mendalam terhadap maklumat terkini.

Selain itu, Jepun juga terkehadapan dari segi sains dan teknologi. Mereka adalah technological leader iaitu ketua dalam mengkomersialkan teknologi dan menghasilkan inovasi. Bahkan mereka adalah antara yang berada di ranking utama di dalam pengeluaran pelbagai produk seperti automatif, gadget IT, robotik, optik gentian, semi-conductor, peralatan-peralatan mesin, barang-brang berkaitan perkomputeran dan lain-lain.

Jepun adalah pengeluar dan pengeksport kereta yang terbesar di dunia. Malah kita semua sudah terbiasa dengan jenama seperti Toyota, Honda, Nissan, Suzuki, Mitsubishi, Mazda, dan Subaru. Jepun juga merupakan rumah bagi pengeluar kenderaan jenis lain, seperti motosikal Kawasaki dan Yamaha dan tentunya yang sangat terkenal di Malaysia kapcai Honda EX5. Selain  itu, Jepun turut menjadi pengeluar mesin berat seperti Kubota, Komatsu dan Hitachi.

Apa yang menarik, meskipun motosikal Honda EX5 sangat terkenal di Malaysia sehingga memenuhi jalan raya dalam negara, motosikal jenis ini tiada kelihatan digunakan di Jepun!

Share on Myspace