Kuala Lumpur perlu pamer imej Islam universal

SALMIYAH HARUN | .

AMPANG: Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah membayangkan bangunan KLCC yang menjadi kebanggaan negara mempunyai kalimah Allah sebagai identiti negara Islam.

Beliau membandingkan Kuala Lumpur dengan Bangkok di mana ibu negeri Thailand itu jelas memperkasakan indentitinya dengan mempamerkan tulisan Siam dan agama Buddha di setiap bandar.

"Di KL tidak nampak pun di manakah laungan perpaduan nasional. Misalnya di KLCC ada gantung kalimah Allah biar ada indentiti kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan isu Perpaduan Nasional pada Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Beliau juga mahu melihat Kuala Lumpur mempunyai sebuah masjid berseni bina Cina supaya salah faham terhadap Islam tidak berterusan.

"Kalau ada masjid seperti ini dibina menunjukkan agama Islam bukan sahaja milik Arab dan Melayu sahaja tetapi semua bangsa," ujar beliau di hadapan kira-kira 300 peserta.

Ridhuan turut menggesa agar Kuala Lumpur mempamerkan imej Islam yang universal supaya isu-isu sensitif dapat dikendurkan.

"Malangnya hari ini perpaduan sukar untuk dikendurkan kerana ego kita. Hendak cari perbezaan sangat sukar. Ego masing-masing sangat tinggi, prinsip perjuangan tidak boleh dikorbankan," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 25/9/2016

Share on Myspace