PAS di sebalik kematian para ulama

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Negara dikejutkan dengan berita sedih kematian seorang ulama besar, Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din ketika beliau menjalani rawatan kesihatannya di luar negara. Allahyarham telah beberapa kali menjalani rawatannya di sana dan berjaya. Tetapi kali ini takdir Allah menjemputnya.

Keluarga Allahyarham pula membuat keputusan yang benar untuk menyegerakan urusan pengkebumian di sana juga, di tempat mana beliau menemui Penciptanya yang maha agung. Umat Islam seluruh negara, dengan yang terbesar adalah anjuran PAS di masjid Shah Alam telah mendirikan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham. Semoga Allah menerima, merahmati, mengampuni dan menempatkan Allahyarham Tuan Guru bersama para anbiya' dan orang-orang yang soleh di syurga firdausi-Nya.

PASlah yang paling merasai kehilangan Allahyarham selepas ahli keluarga beliau. Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din adalah al Mursyidul Am PAS yang telah memegang jawatan utama parti itu selama hampir dua tahun selepas kematian al Mursyidul Am sebelumnya iaitu Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dengan kematian dua ulama besar ini, di samping beberapa lagi nama besar tokoh ulama dalam PAS yang telah pergi menemui Allah dalam tempoh yang dekat, PAS amat-amat merasai kesedihan dan kehilangan yang sukar dicari ganti.

Kematian para ulama adalah berita sedih dan peringatan yang menusuk kalbu umat Islam. Ia adalah berita amaran kehilangan ilmu yang berguna daripada kehidupan. Ilmu yang berguna adalah wahyu Allah dan segala ilmu yang berkembang di dunia yang dijalin dan teradun di dalamnya isi-isi wahyu yang memperkenalkan manusia dengan kebesaran Allah dan kewujudan hari akhirat. Para ulama adalah sumber utama memahami wahyu selepas ketiadaan al rasul dan para sahabat.

Justeru kematian para ulama membawa kepada musibah kelalaian manusia daripada agama dan mengingati Allah. Ia adalah musibah paling besar di dunia. Manusia nanti akan dipimpin oleh mereka yang langsung jahil tentang ugama. Oleh kerana resam manusia bergantung hidup kepada tunjuk arah pemimpin mereka, sudah pastilah musibah pemimpin yang lemah dan jahil akan membawa kepada musibah yang lebih besar dan melata.

Mari kita hayati pesan RasuluLlah صلى الله عليه وسلم di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari.
"Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan cara menariknya daripada dada para hambaNya. Tetapi Dia mencabutnya dengan mencabut nyawa para ulama. Sehingga apabila Dia tidak lagi meninggalkan seorang alim pun (dimatikan semuanya), maka manusia mula mengambil orang-orang yang jahil sebagai ketua mereka. Lalu mereka ditanya (berkaitan urusan hidup mereka). Mereka lantas menjawab tanpa ilmu. Maka mereka sesat dan menyesatkan."

Ada beberapa persoalan yang timbul di dalam memahami maksud hadis di atas yang memerlukan jawaban yang tuntas dan menutup segala ruang fitnah. Insya Allah saya cuba menjawabnya secara ringkas di sini.

Beberapa pihak mengandaikan kematian tokoh-tokoh ulama dalam PAS dalam beberapa tahun terakhir ini adalah petunjuk berakhirnya kekuatan PAS di dalam arena politik negara. Bagi mereka, oleh kerana PAS terlalu teguh disebabkan oleh konsep kepimpinan ulama dan terlalu merujuk kekuatan mereka kepada individu ulamak tertentu yang telah tiada seorang demi seorang, maka PAS juga akan turut tumbang dan berakhir.

Dengan merujuk kepada hadis di atas, mereka membuat andaian bahawa PAS semakin hilang ilmu dan sengatnya. Kepimpinan baru PAS hari ini tidak mampu menggantikan kekuatan ulama yang telah pergi. Malah perpecahan dalam PAS yang mengakibatkan keluarnya tokoh-tokoh utama mereka akan mempercepatkan lagi takdir bahawa nyawa PAS akan turut berakhir atau menjadi sebuah parti yang lemah.

Mari kita meneliti dua perkara. Pertama adalah dengan melihat kepada sejarah kematian pertama para ulama pada zaman umat nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Kedua adalah dengan melihat kepada maksud hadis di atas secara nyata.

Perhatikan, adakah orang menggantikan Rasulullah SAW selepas kewafatannya adalah lebih baik ilmunya daripada baginda? Begitu juga, adakah orang menggantikan Abu Bakar al-Siddiq selepas kematiannya adalah lebih baik ilmunya daripada beliau? Begitu juga, adakah orang yang menggantikan Umar, juga yang menggantikan Uthman radiaLlahu anhuma selepas kematian mereka adalah lebih baik ilmunya daripada mereka? Jawabannya tidak bukan?

Pengganti khilafah pada zaman awal Islam adalah mereka yang tidak lebih baik daripada sebelumnya. Ertinya ilmu semakin hari semakin menghilang dengan kematian para ulama yang bermula daripada kewafatan baginda al rasul sendiri yang menjadi mahaguru dan penghulu para ulama.

Kemudian mari kita bertanya, adakah Islam pada masa itu dengan sebab kematian para ulama dan berganti pula dengan para ulama yang tidaklah lebih baik daripada yang sebelumnya telah mengakibatkan Islam telah menguncup perkembangannya di dunia? Adakah Islam pada zaman Sayyidina Umar telah lemah berbanding pada Abu Bakar? Adakah Islam pada zaman Umayyah telah lemah kekuatannya dengan matinya para sahabat semuanya?

Sudah pasti jawaban adalah sebaliknya. Walaupun dunia Islam kehilangan tokoh-tokoh besar ulama, Islam tetap berkembang, menang dan unggul. Kematian para ulama walau meninggalkan kesan kesedihan dan kehilangan, tetapi ia tidak sedikit pun menjejaskan rentak kekuatannya untuk mara memimpin umat dan manusia dengan pengajarannya yang hebat.

Jadi, untuk mengandaikan bahawa kematian para ulama besar dalam PAS adalah cerita penutup bagi kekuatan dan kejayaan PAS, itu hakikatnya hanyalah tekaan dan sangkaan yang bercanggah dengan sifat dan tabiat sebuah perjuangan besar yang memiliki ciri-ciri kekuatan yang banyak. Islam, perjuangannya tidak mungkin terhenti hanya dengan kematian para ulama dan pemimpinnya.

Bagaimana pula kita memahami maksud hadis di atas bahawa kematian para ulama adalah bayangan kegelapan kejahilan melata bagi umat?

Seperti saya jelaskan di awal bahawa kematian adalah tazkirah dan peringatan yang paling berkesan dan menusuk kalbu umat. Itu asasnya. Tetapi jika kematian, apatah kematian orang alim dialpakan dan dibiarkan tanpa tindakan positif daripada umat, maka ia bertukar menjadi bala dan bencana yang menanti.

Hadis al-rasul di atas adalah peringatan kepada akibat yang bakal terjadi jika kematian para ulama dialpakan. Ilmu Islam dan para ulamaknya akan terus wujud sehingga kiamat. Ia adalah cahaya yang takkan padam. Tetapi di bumi dan masyarakat mana yang lalai daripada ugama, di situlah ilmu menghilang dengan kematian dan ketiadaan para ulama. Kesannya, naiklah pemimpin-pemimpin ugama dan politik yang jahil. Mereka sesat dan pastinya akan menyesatkan anak buah.

Hadis di atas secara jelas menyebut bahawa bala kerosakan masyarakat akibat kejahilan dan kelalaian adalah bukan hanya dengan kematian seorang dua para ulama, bahkan ia adalah dengan kematian satu demi satu para ulama sehingga tiada lagi pengganti mereka.

Ilmu ditarik Allah dengan mematikan para ulama. Tetapi ilmu dikekalkan bahkan ditambah dengan Allah melahirkan para ulama yang baru. Sebagaimana kematian ulamak tanpa pengganti adalah disebabkan kelalaian dan kekufuran terhadap nikmat ilmu, maka begitulah sebaliknya di mana kelahiran baru para ulamak adalah kerana peringatan yang diambil dan kesyukuran yang bertambah-tambah di atas nikmat ilmu dan iman.

Di antara tanda kesyukuran adalah berteguh menegakkan kalimah Allah di muka bumi dengan menambah ilmu di dada, menghidupkannya dengan dakwah dan jihad menegakkan syariatnya.

PAS adalah sebuah parti politik Islam dalam negara. Puluhan tahun terbina, ia semakin kukuh dengan jatidiri dan konsistensi halatujunya memimpin umat dengan ugama. Malah hari ini, dengan kejayaan menangani krisis dalaman yang agak tragis, PAS semakin dilihat begitu istiqamah memperjuangkan apa yang telah diperjuangkan oleh generasi awal yang menubuhkan PAS.

Sebagaimana istiqamah PAS berjuang telah berjaya menjemput dan melahirkan para ulama yang kental, begitulah para ulama akan terus memimpin PAS hari ini dengan istiqamahnya yang semakin teruji dan mengukuh. Semoga Allah merahmati perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 25/9/2016

* Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace