Isu dibangkit pada kongres diserah kepada kementerian

SALMIYAH HARUN | .

AMPANG: Setiap isu yang dibangkitkan oleh peserta Kongres Rakyat Wilayah Persekutuan akan dibukukan dan diserahkan kepada kementerian berkenaan.

Penyelaras Kongres Rakyat, Kamaruzaman Mohamad berkata, jawatankuasa penganjur akan meneliti semua isu yang dibangkitkan kemudian akan dikemukakan sebagai memorandum kepada kementerian dalam tempoh seminggu daripada sekarang.

"Kita akan kemukakan perkara ini dalam bentuk memorandum misalnya isu teksi kita serah kepada Kementerian Pengangkutan dan SPAD, isu peniaga dan pakir kita akan serah kepada DBKL dan pihak berwajib," katanya dalam ucapan penutup.

Pelbagai isu yang dibangkitkan antaranya isu teksi oleh Shamsuddin Yaccob yang kini menjadi pesaing utama kepada perkhidmatan Uber.

Ini kerana katanya, Uber menawarkan harga lebih murah daripada teksi menyebabkan ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka.

"Uber tidak ada insurans walaupun tambang murah dan kereta Audi atau Mercedes, teksi ada insurans," katanya.

Pelbagai isu lain termasuklah isu wanita dan kekeluargaan dibentangkan oleh Dr Siti Aishah manakala isu perumahan dibangkitkan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mior Isfandy Mior Azizan.

Manakala wakil DBKL Nik Mastura Diyana Nik Mohamad membentangkan pelan dan tindakan DBKL. - HARAKAHDAILY 25/9/2016

Share on Myspace