Karnival Dun Jabi 2016 catat rekod

DR AZMAN IBRAHIM | .

Berlangsung selama 2 hari 3 malam, ternyata penganjuran buat julung kalinya ‘Karnival Dun Jabi 2016’ mencatat rekodnya yang tersendiri. Inilah program himpunan terbesar yang pernah dianjurkan dalam sejarah Dun Jabi.

Karnival membuka tirainya pada malam Jumaat 22 September 2016 dengan Program Bual Bicara yang menampilkan Ustaz Azhar Idrus dan Ijam Medicine. Penampilan 2 selebriti terkenal tanah air ini berjaya mengundang kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung yang memenuhi setiap sudut Dataran PGU jabi. Ijam terlebih dahulu menghangatkan suasana pentas sambil menggamit kembali kenangan peminatnya dengan lagu popular Kumpulan Medicine suatu ketika dahulu ‘Tika Dan Saat Ini’ dalam versi dakwah terbaru. Ribuan anak-anak muda yang mendominasi kehadiran di Dataran PGU Jabi mengikuti dengan penuh minat bait-bait nasihat agama secara santai yang dilantunkan oleh Ustaz Azhar Idrus selama sekitar 2 jam.

Pada pagi Jumaat, acara berjalan kaki ‘Langkah Karnival’ sejauh kira-kira 2 km turut diserta peserta paling tua, Mok Ngoh berusia 84 tahun dari Kampung Kerandang yang telah berjaya menamatkan misi berjalan kakinya tanpa sebarang masalah.

Selain dari pengunjung karnival berpeluang mengunjungi 70 buah gerai beraneka jualan yang disediakan, mereka juga telah memanfaatkan pelbagai khidmat kemasyarakatan yang disediakan seperti pemeriksaan dan rawatan perubatan percuma, rawatan perubatan Islam, kempen derma darah, pameran serta ceramah anti dadah, pelbagai pameran serta banyak lagi.

Kuliah Maghrib Perdana oleh Kiyai Dr Haji Ahmad Najib Afandi yang diterbangkan khas dari Pesantren al Hikmah Jawa Tengah Indonesia berjaya memukau para hadirin dengan ceramah power beliau. Ternyata masyarakat sekitar Besut dan Setiu bisa memahami bahasa Indonesia dengan begitu baik. Solat hajat memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan pembentangan Pindaan RUU Akta 355 turut diadakan selepas Kuliah Maghrib Perdana.

Hidup ada ketikanya perlu bersantai. Acara santai ringan antaranya gusti lengan, boling kelapa, tarik tali, mengail ikan, dart, pertandingan gubahan berjaya mewujudkan suasana meriah dan menghiburkan pengunjung karnival. Dalam masa yang sama YB Hajah Siti Zailah Yusof mengiringi acara dengan slot ceramah motivasi muslimat.

Islam sama sekali tak memusuhi riburan. Kami tampilkan dalam slot Malam Kesenian Islam Kumpulan Qasidah Maahad Tahfiz Matlain Badrin, Kumpulan Nasyid ar Rasy, Kumpulan Nasyid Seedrain dan Zuar XPDC dengan petikan gitar akustik beliau.

Tentunya seni silat Melayu adalah juga antara acara wajib dipertontonkan. Warisan budaya yang perlu dikekalkan. 3 kumpulan silat telah memperlihatkan keindahan dan ketangkasan seni mempertahankan diri pusaka bangsa.

Akhirnya sekali lagi pada 24 September 2016, malam penutup Karnival Dun Jabi, Dataran PGU Jabi telah dibanjiri pengunjung untuk mengikuti Ceramah Perdana yang menampilkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Datuk Mohd Amar Abdullah, AJK PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohd Nor dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Rata-rata pengunjung yang hadir mengharapkan agar acara ini menjadi acara tahunan PAS Jabi malah sebahagian besar mereka berharap tempohnya boleh dilanjutkan melebihi daripada 3 hari.

Objektif untuk menjadikan Karnival Dun Jabi sebagai medan pertemuan semua lapisan masyarakat secara dasarnya telah berjaya. - HARAKAHDAILY 25/9/2016

Share on Myspace