Pemuda Ansorullah: Idaman Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .

Pemuda ansorullah adalah mewajahi pemuda unggul yang lahir zaman Nabi SAW. Pemuda yang menyerahkan dirinya kepada Allah dan Rasulnya dalam erti kata yang lain mewakafkan dirinya kepada perjuangan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjadi sunnah dan dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Pemuda Islam yang memahami ciri ansorullah senantiasa berusaha menjadikan kehidupan mereka mengikut jejak langkah pemuda di zaman Nabi SAW.

(وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ)

"Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar." [Surat At-Tawbah 100]

Dalam ayat ini terdapat tiga golongan yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan mendapat redha serta janji anugerah syurga Allah SWT iaitu dua golongan sahabat Muhajirin dan Ansar. Satu golongan yang disebut oleh ulama, ruang yang dibuka oleh Allah SWT kepada umat akhir zaman iaitu golongan ketiga. Mereka yang mengikut jejak langkah sahabat di kalangan Muhajirin dan Ansar dengan melakukan kebaikan dalam erti kata lain mengukuhkan iman dan taat seperti generasi sahabat terdahulu.

Tarbiyah kepada para amilin adalah sunnah ar Rasul SAW. Sahabat yang duduk dalam saff perjuangan yang dipimpin oleh Nabi SAW menerima tarbiyah secara langsung dari Baginda. Kerja jihad yang dilaksanakan adalah hasil lanjutan proses tarbiyah. Tanpa tarbiyah sudah barang pasti kesempurnaan kerja jihad terbantut dan tidak dapat dilaksanakan. Nabi SAW mentarbiyah para sahabat samada di zaman Mekah atau Madinah. Zaman Mekah pentarbiyahan lebih menjurus ke arah penyucian akidah. Manakala zaman Madinah ialah fatrah di mana telah tertegaknya daulah Islam. Nabi dan para sahabat difardhukan syariat jihad. Dengan kuasa yang ada di Madinah, Islam tersebar luas. Manusia melihat kebaikan dan keindahan Islam.

Ini bererti di zaman mana sekalipun hatta zaman sekarang jika saat perjuangan itu belum menang maka agenda tarbiyah tidak boleh dipisahkan. Maka lebih-lebih lagi zaman Allah SWT anugerah kemenangan yang dipenuhi dengan ujian dan fitnah samaada datang dari musuh diluar ataupun musuh dalam diri sendiri yang senantiasa berusaha memesongkan para amilin dari landasan syariat dan sunnah Nabi SAW yang sebenar.

Banyak hadis Nabi SAW berpesan berhubung dengan amanah. Beratnya amanah sehingga jawatan itu menjadi penyesalan hari akhirat jika ianya tidak diberikan hak dan dilaksanakan sebaiknya. Teguran Nabi SAW kepada Abu Dzar menjadi nas dalil atas beratnya amanah itu.

عن أبي ذر قال قلت يا رسول الله ألا تستعملني قال فضرب بيده على منكبي ثم قال يا أبا ذر إنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها

Sunnatullah perjuangan Islam ini akan senantiasa ada ujian dan cabaran. Segenap ruang musuh di sepanjang zaman menghala "peluru" untuk menghancurkan Islam. Hari ini pertembungan aliran pemikiran dan fahaman yang diasaskan dengan akal kembali memenuhi atmosfera gerakan tajdid dan siyasah. Lahir semula mereka yang mendahului serta mengangkat ideologi akal berbanding petunjuk wahyu dan bimbingan sirah.

Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi acap kali mengulangi serta mengingatkan ahli PAS supaya tidak terpedaya dengan dakyah sesetengah mereka yang mengaku membawa agenda Islam dalam perjuangan mereka dengan mengutamakan maqasid syariah sehingga meninggalkan Al-Quran. Ini antara doktrin jahat yang ditanam dalam masyarakat Islam hari ni terutama mereka yang hanya punyai kesedaran yang nipis dalam melaksanakan amanah perjuangan Islam.

Dalam kitab Muqaddimah Akidah Muslimin yang dikarang oleh Tuan Guru sendiri menyebutkan bahawa pertembungan pemikiran ini lahir dengan ideologi nama-nama terkini yang diasaskan dengan akal dan nafsu semata-mata. Barang kali atas nama Muktazilah, Murji'ah, Qadariah dan lain-lain sudah tiada. Namun konsep, cara dan pendekatan masih sama sekalipun namanya tidak seperti dulu. Nabi SAW mengingatkan bahawa akan berlaku pertembungan dan khilaf ini.

عن أبي نجيح العرباض بن سارية رضي الله عنه قال : وعظنا رسول الله صلى الله عليه وسلم موعظة وجلت منها القلوب ، وذرفت منها العيون ، فقلنا : يا رسول الله ، كأنها موعظة مودع فأوصنا ، قال : ( أوصيكم بتقوى الله ، والسمع والطاعة ، وإن تأمّر عليكم عبد ؛ فإنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا ، فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين المهديين ، عضّوا عليها بالنواجذ ، وإياكم ومحدثات الأمور ، فإن كل بدعة ضلالة ) رواه أبو داود والترمذي وقال: حديث حسن صحيح.

Hadis ini memaparkan kisah sahabat r.a meminta wasiat dari Nabi SAW saat Nabi berkata demikian. Kata-kata Nabi SAW seakan kata terakhir yang keluar dari lidah Nabi kepada para sahabat. Seumpama wasiat terakhir. Maka disampaikan wasiat Nabawiyah kepada mereka dengan dimulai dengan takwa. Takwa kalimah yang menghimpunkan segala amalan kebaikan. Takwa memandu setiap urusan manusia. Takwa yang membawa kepada kebahagian dunia dan akhirat.

Kemudian wasiat Nabi SAW diiringi dengan arahan agar memahami hak-hak seorang pemimpin dengan kaca mata syarak. Dengar dan taat adalah hak seorang pemimpin yang wajib diberikan. Allah SWT tegaskan dalam surah an Nisa' ayat 59.

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ)

Nabi SAW gandingkan bab takwa dengan mentaati pimpinan. Antara lain yang dinyatakan tujuannya oleh para ulama ialah:

i. Hendak menjelaskan bagaimana pentingnya soal hak dan kewajiban yang perlu diberikan kepada seorang pemimpin

ii. Nabi SAW jelaskan nilai gandingan antara takwa kepada Allah dan ketaatan pada pemimpin. Kewajiban ketaatan kepada seorang pemimpin itu mestilah di saat arahan dan pandangan pemimpin itu selari dengan perintah Allah. Tidak boleh ketaatan yang diberikan saat pemimpin itu berasingan dan bercanggah dengan perintah Allah. Apabila pemimpin itu bercanggah urusannya dengan ketetapan Allah dan Rasulnya, tidak ada lagi kewajiban ketaatan ke atasnya. Bersandarkan hadis Nabi SAW:

فإذا تعارض أمره مع شرع الله ورسوله فلا تجب طاعته في ذلك ، ومما يدل على ذلك قول النبي صلى الله عليه وسلم : ( لا طاعة في المعصية ، إنما الطاعة في المعروف ) رواه البخاري ومسلم .

Seterusnya Nabi SAW menegaskan akan terjadinya khilaf dan pertembungan yang banyak selepas zamannya. Pertembungan dan perbezaan ini lahir fahaman yang masing-masing mendakwa paling benar. Benar hanya diukur dengan akal. Mengasaskan idea-idea yang diri sendiri cipta. Terpesona dan kagum dengan cetusan pemikiran sendiri untuk dijadikan rujukan orang lain. Sedangkan Nabi SAW khabarkan terlebih awal kaedah untuk keluar dari khilaf dan pertembungan kefahaman ini. Benar mesti diukur dengan neraca Islam. Neraca Islam itu Nabi SAW nyatakan dalam hadis ini melalui Sunnahnya dan Sunnah para sahabatnya.

Kenyataan Nabi SAW ini adalah isyarat bagaimana ummah akan berdepan dengan masalah ini. Ada golongan manusia yang berusaha memisahkan ummah dengan petunjuk dan kebenaran Ilahi. Idea dan pemikiran itu digagaskan demi kepentingan dan kelangsungan matlamat peribadi semata-mata.

Maka Nabi SAW kemukakan penawar kepada penyakit tersebut. Penawarnya kembali berpegang dengan sunnahnya dan sunnah perjalanan dan perjuangan hidup para sahabat. Yang mana mereka adalah golongan yang dipelihara oleh Allah dengan hidayah serta dianugerah kemampuan untuk mengenali kebenaran (معرفة الحق). Mereka dikalangan sahabat juga termasuk golongan yang istiqamah dengan manhaj nabawi sehingga Allah SWT jadikan zaman mereka zaman kegemilangan serta contoh terbaik buat umat manusia.

Di atas kelebihan inilah kita fahami Nabi SAW menegaskan di penghujung hadis tersebut agar umat Islam wajib iltizam dengan sunnah para sahabat. Kinayah atau perumpamaan yang digunakan oleh Nabi SAW iaitu "gigit dengan gigi gerham sunnah sahabat" adalah supaya ummah perpegang sungguh dan kuat dengan sunnah para sahabat Nabi SAW.

Justeru bagi melahirkan pemuda ansorullah yang memenuhi sifat-sifatnya, mestilah menjurus ke arah merungkai serta membersihkan jiwa dan fikrah para amilin dan kembali pada apa yang diajar oleh Nabi SAW. Dengan pemurnian akidah perjuangan ini, ianya akan melahirkan pemuda ansorullah yang gagah menyusun langkah, menyinsing lengan, menggalas beban amanah parti untuk "menderap jalan Istiqamah" dengan kerja jihad memenangkan Islam di arena politik tanah air. Dengan tarbiyah yang ditanam oleh Nabi SAW kepada para sahabat membawa kepada berlakunya hijrah serta kerja jihad sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah serta tersebarnya Islam dipelusuk tanah arab. Maka begitu juga dengan tarbiyah yang diterima oleh para pemuda, akan membawa ke arah peningkatan kerja-kerja jihad politik untuk memenangkan perjuangan PAS dalam pentas politik tanah air.

Harapan agar dengan kefahaman yang mantap ini melahirkan pemuda seperti mana pemuda generasi awal yang bersama dengan perjuangan yang dipimpin oleh Nabi SAW. Sehingga terpilih menjadi abna'ul harakah yang istiqamah dengan asolah perjuangan Islam.

SYARHAN HUMAIZI HALIM
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor - HARAKAHDAILY 26/9/2016

Share on Myspace