Datang pameran artifak dan berpeluang menang hadiah

MUHAMMAD ARIS ISMAIL | .

KOTA BHARU: Sebanyak RM300,000 ganjaran menanti pengunjung pameran Artifak Rasulullah yang akan diadakan di Muzium Negeri Kelantan yang mengandungi 30 pekej umrah untuk dewasa.
 
Selain itu pengunjung juga berpeluang memperoleh 200 unit al-Quran digital untuk kanak-kanak di samping sejadah serta telekung solat wanita.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, daripada peruntukkan itu, sebanyak 30 pakej umrah akan ditanggung sepenuhnya oleh penaja.
 
Menurutnya, pengunjung akan memperoleh hadiah menarik itu melalui cabutan bertuah yang julungkali pernah diadakan di Muzium Negeri.
 
Hadir sama pada sidang media itu, Pengarah Muzium Negeri, Mohamad Nazwan Ismail; Penasihat Hidayah Event, Prof Dr Abdul Manan Embong dan Pensyarah Kias, Dr Azhar Abdullah.

Beliau berkata demikian kepada media pada sidang medianya sempena penganjuran pameran artifak Rasulullah dan sahabat baginda di Muzium Negeri.
 
Katanya, pameran itu akan diadakan pada 5 Oktober hingga 15 Disember, bermula 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari.
 
“Bagaimanapun pengunjung akan dikenakan tiket sebanyak RM20 bagi orang dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.
 
“Insya Allah dengan pameran yang begitu istimewa ini, kita mensasarkan  seramai 150,000 hingga 200,000 akan mengunjungi pameran tersebut,”ujarnya.
 
Beliau seterusnya menambah, sebanyak 22 artifak yang akan dipamerkan antaranya  kain kiswah, kunci makam Rasulullah, rambut, cop mohor, serban serta al Quran yang bertatahkan emas yang didatangkan khas dari Makkah, Madinah, Syria, Yaman serta India.
 
Anizam seterusnya memberitahu, pameran itu diadakan untuk  memberi peluang kepada masyarakat seluruhnya khususnya negeri Kelantan melihat sendiri artifak yang dipamerkan.
 
Beliau turut menjangkakan masyarakat luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyaksikan pameran itu khususnya sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK 2016) yang masih berbaki.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya  pelajar Sekolah, Institusi Pondok, Institusi Pengajian Tinggi turut hadir menyaksikan pameran julungkali pernah diadakan di muzium terbabit.
 
Pada masa yang sama, jelas Anizam pihaknya masih dalam perbicangan untuk memberi harga istimewa kepada pelajar.

Pameran berkenaan dianjurkan kerajaan negeri melalui Muzium Negeri Kelantan dan Hidayah Event Sdn Bhd.
 
Sebelum ini muzium tersebut telah menempa sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menganjurkan pameran ular sebanyak dua kali, pameran Sultan Muhammad Al-Fateh dan beberapa pameran lain. – HARAKAHDAILY 26/9/2016

Share on Myspace