Jangan buat kontrak konsesi air macam hutang kutu

HARAKAHDAILY | .

KERAJAAN Negeri Kedah pimpinan Umno-BN seakan mempunyai agenda terselindung berhubung kontrak perjanjian dengan syarikat konsesi air yang bakal tamat pada tahun 2020. Sangat mencurigakan apabila semasa di bawah Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mempunyai ketetapan dan penegasan mengenainya, tiba-tiba kini Datuk Badrol Hisham Hashim mengaku masih dalam pertimbangan.

Sekiranya kerajaan telus, nyatakan secara terbuka pertimbangan-pertimbangan yang sedang diperkirakan itu. Mengapa boleh berlaku perubahan pendirian setelah bertukarnya Menteri Besar? Apakah penilaian pihak kerajaan terhadap keperluan atau prestasi syarikat konsesi terbabit selama ini?

Sudah lebih 25 tahun syarikat terbabit memegang konsesi, mustahil selama itu kerajaan tidak mempunyai penilaian atau data prestasi, rugi untung dan seumpamanya. Dokumentasi, kontrak perjanjian dan pelbagai terbitan berkaitan tentunya jadi sandaran atau rujukan. Jangan dibuat seolah-olah perjanjian dimeterai macam hutang kutu zaman 80-an yang hanya di catat dalam Buku 555.

Cukup sudah pelbagai skandal berkaitan dan penipuan lapuk, buktikan kali ini kerajaan benar-benar menjamin kepentingan rakyat. Sudah jadi pengetahuan umum bahawa kerajaan terpaksa membayar jumlah sangat besar dan syarikat terbabit mendapat keuntungan sangat tinggi.

Apatah lagi kita telah punyai SADA yang boleh diharap dan dipertingkatkan kemajuannya untuk memberikan perkhidmatan rawatan dan bekalan air ke seluruh negeri ini, serta dapat mengembalikan keuntungannya kepada negeri. Malah, turut mendapat peruntukan dan pembiayaan dana dari Kerajaan Persekutuan dalam jumlah sangat besar.

Jangan cuba jadi kapitalis yang mencari keuntungan diri dengan jawatan dipegang. Ketika sama menjual keperluan asas rakyat yang sangat penting, lalu mengusung beban bertimpa-timpa di masa akan datang. Jangan ada hubungan di belakang “Aku bantu hang, hang bantu aku” dengan syarikat konsesi berkaitan.

Ingat bahawa kami akan sentiasa memerhati dan menjejak kecurangan kalian kepada rakyat yang semakin hari menggadai tanah dan air negeri Kedah demi tembolok peribadi, proksi dan parti. Sekiranya dolak dalih dan kepura-puraan ini tidak dihentikan segera, kami akan gerakkan bantahan yang akan mewakili suara rakyat Kedah.

USTAZ NURUL AMIN HAMID
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 26/9/2016

Share on Myspace