Migrasi air: AKSB yakin beri perkhidmatan cemerlang

HARAKAHDAILY | .

[email protected]: Pada 14 September 2016 telah dimeterai perjanjian di antara Kerajaan Negeri dan Pusat berkaitan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Kelantan. Boleh Tuan Haji jelaskan perjanjian tersebut?

Tuan Haji Ir. Wan Mohd Zamri: Perjanjian ini merupakan salah satu daripada agenda nasional peringkat Kerajaan Persekutuan yang mana pada tahun 2006, diperkenalkan Akta Industri Perkhimatan Air  dan dikuatkuasakan pada 2008. Peringkat pertama Akta ini ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah mengeluarkan lesen operasi kepada pengendali atau operator negeri termasuklah Air Kelantan Sdn. Bhd. pada tahun 2009.

Jadi dengan adanya perjanjian tersebut yang telah ditandatangani 7 buah negeri lagi, ia telah membawa satu era baru bagi kita di AKSB kerana selama ini kita membuat perancangan air secara impromptu, just in time yang mana ketentuan pembiayaan kepada rancangan pembangunan air tidak dipastikan melalui perjanjian ataupun kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Maka dengan adanya perjanjian seperti ini, kita sudah tentu mempunyai satu ikatan yang kukuh yang tidak boleh diingkari. Jadi bagi AKSB, ia satu nikmat bahawa rancangan yang kita atur kita yakin akan adanya pembiayaan kewangan.

Melalui rancangan migrasi ini, kita yakin boleh mengendali fasiliti-fasiliti pembangunan air yang telah dibangunkan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Mereka (PAAB) bina dan mereka serah kepada kita (AKSB) untuk dikendalikan secara operasi dan penyelenggaraannya.

Dari segi strukturnya tidak berubah. Kita masih pengendali air bagi negeri Kelantan. Cuma yang berubah ialah struktur pembiayaan kewangan.

Peringkat yang kedua untuk melengkapkan agenda nasional ini ialah perjanjian migrasi yang telah kita tandatangan pada 14 September yang lalu.

Selain daripada pembiayaan kewangan, apa lagi intipati penting dalam perjanjian ini?

Dalam perjanjian itu ada ditetapkan KPI (Key Performance Index) bagi kita untuk memenuhi keperluan bersama. Ada 5 penanda aras (KPI) iaitu, kekeruhan, reserve margin, NRW (non-revenue water), keluasan liputan bekalan air dan tekanan air.

Lima KPI yang telah dipersetujui ini ada angka-angka yang kita perlu penuhi dalam masa 3 dan 30 tahun dengan pembiayaan kewangan oleh PAAB. Ia bersifat timbal balik. Kita mendapat pembiayaan untuk memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh KETTHA (Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air).

Boleh perincikan struktur dan komponen dalam perjanjian migrasi ini?

Ada 3 elemen dalam perjanjian, iaitu penstrukturan semula pinjaman ataupun hutang lama Kerajaan Negeri dengan Pusat berkaitan dengan bekalan air termasuk juga pinjaman daripada bank-bank tempatan dan bank pembangunan Asia. Hutang-hutang ini akan diamil alih oleh PAAB melalui terbitan bon dan lain-lain.

Sebagai collateral, fasiliti bekalan air milik Kerajaan Negeri akan diserahkan kepada PAAB sebagai pajakan dan PAAB pula akan menyewabelikannya kepada AKSB. Kita hanya serah 16% sahaja daripada lot-lot yang kita miliki kepada PAAB sebagai jaminan. Kita tak serah 100%. Dan mereka (PAAB) tak boleh gunakan lot yang diserah milik sebagai jaminan itu sebagai transaksi jual beli.

Manakala bagi pembiayaan kewangan yang baru, PAAB akan menanggung segala kos pembangunan dan akan menyerahkan kepada AKSB untuk dikendalikan operasi dan penyelenggaraan. Cuma kita akan bayar levi ke atas fasiliti yang telah dipajakkan.

Elemen yang ketiga ialah pembangunan sumber air melalui geran Kerajaan Persekutuan sebagaimana negeri-negeri lain. Sebagai contoh, Pulau Pinang diberi RM1.3 bilion untuk meningkatkan keupayaan Empangan Mengkuang setelah perjanjian migrasi.

Kita telah menyediakan satu projek sumber air untuk negeri Kelantan yang berjumlah RM2 bilion (anggaran) untuk memastikan sumber air kita terjamin sehingga 50 tahun akan datang supaya kita tidak menghadapi masalah terutamanya apabila berlaku perubahan cuaca, khususnya kemarau.

Apa yang kita rancang berkonsepkan ‘reservoir in the city’ iaitu bekalan air mentah tawar akan kita sediakan di sebelah hilir dalam bandar. Antara komponennya kita akan buat underground dam (empangan bawah tanah) di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti.

Rancangan itu telah dikemukakan kepada Majlis Sumber Air Negeri dan telah diluluskan sebanyak RM5 juta dengan bajet siling sebanyak RM20 juta untuk dijalankan kajian ‘feasibility’s study’ dan kita telah tender kerja-kerja untuk kajian tersebut. In sha Allah dalam masa setahun kita akan dapat rekabentuk rancangan sumber air tersebut.

Apakah penstrukturan semula ini mampu menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang berlarutan sejak sekian lama?

Tahun 1990 berlaku perubahan kerajaan di Kelantan. Bermula tahun itu juga pembiayaan pembangunan bekalan air telah dihentikan selama 13 tahun sehingga tahun 2003. Tahun 2003 kita mula membina fasiliti-fasiliti pembangunan bekalan air seperti loji dan pipeline. Dalam tempoh 13 tahun itu, pembangunan di Kelantan tetap berjalan. Jadi permintaan kepada air tidak terhenti dengan berhentinya pembiayaan. Jadi kita telah kehilangan ‘the development years’ selama 13 tahun yang terpaksa kita tampung ataupun kita kejar.

Lazimnya, untuk pembangunan biasa kita perlukan sekitar RM200 juta setiap tahun untuk pembangunan bekalan air. Jadi kalau kita tertinggal 13 tahun, untuk kita kejar itu saja kita perlukan RM2.6 juta.

Kemudian untuk kita merekabentuk dan bina fasiliti baru. Contohnya loji air, design life kita biasanya 20 tahun. Jadi maknanya yang kita kejar 13 tahun itu satu isu dan satu lagi yang kita nak rancang untuk menghadapi permintaan di masa hadapan selama 20 tahun. Jadi kalau campur dua itu kita perlu kepada 33 tahun pembiayaan barulah selesai masalah air.

Apa yang kita dapat selama ini hanyalah sebahagian daripada keperluan itu. Daripada angka yang kita anggarkan, kita memerlukan lebih RM3 bilion untuk pembangunan hiliran dan selebihnya RM2 bilion untuk pembangunan sumber air. Keseluruhannya kita perlukan lebih kurang RM5 bilion dalam masa 10 tahun ini.

Jadi tanpa pembiayaan berskala besar itu, tidak mungkin AKSB ataupun Kerajaan Negeri boleh menyediakan kemudahan pembiayaan sebesar itu.

Maka dengan adanya perjanjian migrasi ini yang dimeterikan dalam satu perjanjian, kita lebih yakin dan pelaksanaan program pembangunan yang telah diatur akan lebih tersusun.

Dari pihak AKSB, bagaimana dengan pelan strategik untuk jangka masa pendek dan panjang selari dengan perjanjian migrasi ini?

Dalam perjanjian migrasi ada tahap minima yang disebut ‘minor works’. Minor works masih dibiayai AKSB sendiri. Projek yang bernilai RM10 juta ke atas akan dibiayai oleh PAAB.

Kebanyakan projek minor ni melibatkan projek-projek jangka pendek. Projek yang boleh menyelesaikan masalah dalam tempoh yang singkat. Dalam rancangan jangka pendek kita sebagai contoh baru-baru ni ada masalah di Temangan, kita telah memasang paip sepanjang 1.5 kilometer dan selesai dalam tempoh dua minggu dengan kos RM1 juta.

Kita juga telah selesaikan masalah air di Kampung Takang, Bachok. Kita pasang 3  kilometer paip dan sekarang mereka menikmati bekalan air yang stabil sejak Hari Raya Aidiladha yang lepas.

Untuk jangka masa panjang, kita telah mengenalpasti beberapa strategi yang akan diambil dalam masa tiga tahun ini. Pertamanya ialah pembinaan loji-loji air supaya kita dapat memenuhi KPI mengenai reserve margin. Pada tahun 2019, kita terpaksa ada reserve margin sebanyak 30%.

Kalau diterjemahkan kepada jumlah pengeluaran, ia hampir 800 juta liter sehari (mld). Sekarang ni kita mengeluarkan 450mld. Jadi hampir sekali ganda dalam masa tiga tahun kita terpaksa membina loji di seluruh negeri terutamanya bagi kawasan-kawasan yang kita panggil ‘stress area’ di kawasan Kota Bharu kerana pembangunan yang pesat, di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai dan beberapa tempat lain yang dalam perancangan AKSB.        

Loji air Merbau Chondong?

Merbau Chondong sedang berjalan. Itu rancangan sebelum perjanjian migrasi. Merbau Chondong adalah pinjaman kewangan dari Kerajaan Pusat berkapasiti 125mld dan in sha Allah akan disiapkan awal 2017. Kita berusaha supaya air boleh disalurkan seawal Disember tahun ini. Loji ini begitu penting kepada 6 jajahan, kawasan stress area dan in sha Allah akan menyelesaikan masalah-masalah seperti di Machang, Kuala Krai, Tanah Merah, Bachok, Pasir Putih dan sebahagian daripada Kota Bharu.

Antara yang popular khususnya di media sosial, alternatif kepada bekalan air bersih seperti kaedah boring, telaga jejari dan lain-lain. Apa komen Tuan Haji?

Alhamdulillah Kelantan dianugerahi Allah taala dengan sumber alternatif. Kita ada bekalan air telaga, air tandak dan sebagainya. Tapi bila musim kemarau, air tandak kering. Solusi terbaik adalah menyediakan bekalan air bersih dari AKSB. Terutamanya di bandar Kota Bharu sumber alternatif iaitu telaga telah tercemar dengan bau dan kandungan besi.

Pengharapan kepada sumber alternatif tidak lagi menjadi satu pilihan utama. Kita sedari keperluan ini. Maka kita merancang program penggantian paip-paip di kawasan bandar terutamanya di Kota Bharu kerana inilah tumpuan kita sebenarnya (look centre).

Jadi dalam program migrasi air ini, kita perlukan RM2.5 juta untuk menukar semua paip-paip lama dan paip-paip kecil supaya kita boleh meluaskan bekalan kita kepada kawasan terpencil.

Pesanan kepada pengguna, khususnya mereka yang mengalami masalah berhubung bekalan air bersih ini.

Dari segi keupayaan penyampaian maklumat, kita telah bangunkan satu apps (android). Kita namakan MyAKSB yang akan kita salurkan maklumat mengenai kebocoran, gangguan bekalan air dan kemudahan aduan oleh pengguna. Melalui apps ini membolehkan kita mendapat info dengan lebih cepat dan bertindak dengan segera.

Maklumat yang kita perlukan pertama ialah nama pengadu. Kedua, alamat pengadu. Kalau apps tu ada map (peta lokasi), boleh share location dan nombor akaun ataupun nombor meter supaya kita boleh mengenal pasti aduan terutamanya kejadian paip bocor. Itu antara maklumat asas yang kita perlu.

Selain itu kita ada talian PINTAS, Pusat Informasi dan Talian Info AKSB melalui nombor telefon 1-300-88-2572 atupun e-mel. Kita ada website, airkelantan.com.my.

Harapan dan jaminan daripada AKSB berhubung manfaat perjanjian migrasi air ini?

Alhamdulillah segala apa yang kita rancang selama ini, kita yakin boleh menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi kerana kita tahu bahawa apa yang berlaku adalah implikasi daripada tiadanya pembiayaan yang mencukupi selama ini.

Jadi dengan adanya perjanjian migrasi ini. Dengan adanya pembiayaan yang lebih yakin untuk memenuhi keperluan pembangunan, saya yakin kita boleh mengendali dan menawarkan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat Kelantan selepas ini.

Saya harap rakyat Kelantan berdoalah agar perjanjian ini boleh direalisasikan dan pelaksanaan projek pembangunan boleh berjalan mengikut perancangan supaya di masa hadapan tidak ada lagi rungutan ataupun masalah bekalan air bersih ini insya Allah.

Wawancara [email protected] dengan Pemangku Pengurus Besar Air Kelantan Sdn. Bhd. I. Wan Mohd Zamri Wan Ismail di atas dipetik daripada laman web http://upknkelantan.com/

Share on Myspace