Peragut cuba dekati jemaah haji wanita

HARAKAHDAILY | .

MAKKAH: Penduduk tempatan di sini menasihatkan jemaah haji lebih berwaspada terhadap beg sangkut yang dibawa.

Ini kerana menurutnya beg tersebut mudah menjadi sasaran mrereka yang tidak bertanggungjawab terutamanya ketika berlaku kesesakan.

Menurutnya ada pihak mengambil peluang menyelup beg yang disandang terutamanya jemaah wanita ketika berlaku kesesakan dalam perjalanan ke Masjidilharam.

"Tidak sesuai gantung beg di bahagian belakang kerana ia memudahkan orang menyeluk.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab itu memilih tempat yang sesak untuk menyeluk beg yang dibawa wanita," katanya di sini.

Oleh itu beliau menasihatkan beg sangkut diletak di bahagian hadapan ketika berjalan.

Seorang jemaah haji wanita pula mendakwa beliau cuba didekati seorang wanita berpurdah ketika berjalan ke masjid baru baru ini.

Katanya wanita itu dipercayai berkulit gelap cuba mendekatinya ketika suasana sesak.

"Selepas saya perasan tindakan wanita itu saya beredar cepat cepat ke tempat lain.

" Pada awalnya dia cuba ikut namun saya berselindung di celah celah orang ramai," katanya.

Sementara itu difahamkan berlaku kejadian ragut di terowong menuju ke Masjidilharam dari al Misfalah baru baru ini.

Kejadian itu dikatakan melibatkan seorang jemaah haji Malaysia sehingga dikatakan berlaku kehilangan beg dibawa.

Terowong tersebut agak sunyi digunakan jemaah haji Malaysia yang menginap di Hotel Land Premium sebagai laluan singkat ke Masjidilharam. – HARAKAHDAILY 26/9/2016

Share on Myspace