Mengundi: Bukan hanya sekadar hak warganegara

NIK MOHAMAD ABDUH | .

MENGUNDI bagi memilih pemimpin negara bukanlah sekadar hak setiap warganegara, bahkan ia adalah kewajiban agama seorang muslim. Ia termasuk di dalam arahan Allah agar segala amanah itu diserahkan kepada ahlinya.

Maksud firman Allah:

"Sesunggunya Allah menyuruh kamu agar kamu menunaikan amanah-amanah itu kepada ahlinya. Dan apabila kamu (pemimpin/hakim) menghukum di antara sesama manusia, maka hendaklah kamu menghukum dengan keadilan." – al-Nisa': 58

Oleh sebab mentadbir dan memerintah negara adalah satu amanah yang besar kerana dengannya-lah manfaat ramai dan kepentingan awam tercapai, maka sudah pasti menyerahkan amanah kepimpinan negara kepada ahlinya yang layak dan sesuai adalah besar juga.

Oleh sebab menyerahkan amanah pemerintahan di negara kita kepada ahlinya yang layak hanya boleh tercapai melalui pengundian dalam pilihan raya, maka mengundi di dalam pilihan raya adalah kewajiban ugama seorang muslim.

Oleh sebab kegagalan mengundi oleh seseorang muslim boleh mengakibatkan amanah pemerintahan negara jatuh ke tangan mereka yang bukan ahlinya yang layak dan sesuai, maka tidak mengundi dengan sengaja adalah satu kesalahan dan dosa yang nyata.

Oleh sebab melepaskan amanah pemerintahan kepada bukan ahlinya boleh mengakibatkan mudarat dan kezaliman ke atas orang awam yang ramai, maka dosa tidak mengundi akan menjadi lebih besar dan nyata.

Justeru seruan agar warganegara Malaysia khususnya umat Islam agar mendaftar sebagai pemilih adalah satu usaha amar makruf yang besar dan mesti dibantu dan dijayakan.

Negara kita adalah Amanah Allah ke atas kita. Kita wajib menjaganya sebagaimana kita menjaga ahli keluarga kita.

Di antara seruan yang salah dan tidak bertanggung jawab adalah seruan menolak kewajiban mengundi. Ia adalah berpunca daripada kejahilan, kelalaian dan kedegilan yang nyata. Ia adalah seruan secara langsung bagi menyokong pemimpin yang korup dan zalim menguasai pemerintahan dengan lebih lama lagi.

Justeru bangkitlah anak muda. Mari mendaftar sebagai pemilih. Semoga negara memikmati perubahan dan proses islahiah yang lebih berkesan. – HARAKAHDAILY 27/9/2016

Share on Myspace