Wira rakyat harus bertindak sebagai anak jantan

NOR AZARIZA MOHD ALAWI | .

Isu yang sedang hangat dibangkitkan tentang kelulusan perladangan tanaman durian kunyit di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) saat ini perlu difahami secara rasional dan objektif agar ianya tidak memberi tanggapan yang negatif kepada kerajaan negeri. Namun jika tulisan penuduh ini sudahpun dilatari dengan dendam kesumat dan kebencian yang mutlak kepada Kerajaan PAS Kelantan, maka jawapan kita perlu disusun satu demi satu agar pembaca dapat menilai isu ini dalam kerangka yang positif dan tidak terbawa bawa dalam arus emosi penulis asal.

Isu penanaman pokok durian dalam kawasan HSK yang telah diteroka secara haram adalah satu pendekatan yang diambil bagi menyelesaikan kegiatan penerokaan dan pendudukan secara haram dalam kawasan tersebut. Mengikut statistik yang diperolehi kami, hutan simpan yang amat luas dengan berstatus HSK telah diteroka dan diduduki secara tidak sah semenjak tahun 1970-an. Isu sebegini atau konflik penggunaan tanah adalah isu yang sering berlaku di semua negeri di negara ini bukan sahaja di Kelantan. Kendatipun begitu persoalan yang utama apakah kaedah penyelesaian yang terbaik terutamanya kepada peneroka peneroka haram yang tegar ini yang membawa maksud telah sekian lama menduduki kawasan berkenaan? Bahkan kawasan terokaan haram ini sudahpun wujud pada zaman Husam menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan lagi.

Apa yang perlu diberi perhatian adalah kaedah penyelesaian isu ini, dengan mengambilkira pelbagai aspek ekonomi, kestabilan alam sekitar dan yang paling utama adalah kesejahteraan masyarakat.

Penanaman pokok durian dalam kawasan teroka haram adalah satu pendekatan pintar kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu penerokaan haram yang tegar dengan mengambil kira tiga faktor di atas.

Isu ini seharusnya tidak dipolemikkan, malah ianya perlu diberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan isu penerokaan haram ini yang telah sekian lama tidak dapat diselesaikan. Di Indonesia, kaedah yang seakan akan sama dgn pendekatan ini dinamakan Projek "Tumpang Sari" ataupun perhutani.

Apa yang diviral tentang berapa surat kelulusan tentang projek ini, seharusnya perlu difahami tatacara proses kelulusan dan pelesenan bagi pentadbiran perhutanan di negeri Kelantan. Proses kelulusan perlu menjalani beberapa syarat-syarat dan bayaran "fee" tertentu, dan ianya boleh ditarik balik dan dibatalkan serta merta.

Semestinya ini bukan masanya untuk menuding jari tanpa membuat kajian yang terperinci terhadap khazanah hutan di negeri Kelantan. Akurlah bahawa kawasan hutan di negeri Kelantan telah diteroka sejak lama dahulu lagi, namun perlu diketahui juga bahawa hutan adalah sumber yang sentiasa boleh perbaharui. Marilah kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan kawasan-kawasan hutan ini dengan memperhebatkan promosi penanaman pokok hutan. Tiada yang mustahil kerana telah banyak kajian dan percubaan yang menunjukkan tanah gersang boleh dijadikan hutan semula.

Kami juga sangsi dengan pendedahan yang tuan utarakan. Itupun jika ia dikira sebagai satu pendedahan. Apa yang pasti, hanya separuh dan sekerat sahaja didedah demi hujah yang sempit. Ia seakan-akan TV3 yang selalu memotong ucapan ceramah Mat Sabu satu ketika dahulu sehingga menimbulkan keraguan dalam masyarakat. Dalam surat kelulusan oleh Pejabat Perhutanan Negeri bertarikh 8hb Jun 2015, ada di sebut "meluluskan permohonan syarikat tuan untuk pembangunan semula hutan dan menjalankan penyelesaian teroka haram dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Galas yang terlibat dengan masalah penerokaan haram dengan syarat syarat seperti berikut:-

i. Pihak syarikat perlu menjalankan projek secara usahasama dengan anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Akademi Yakin Sdn Bhd (AYSB).

ii. Syarikat perlu membentangkan kertas kerja dari segi mekanisme penyelesaian kawasan teroka haram kepada JPNK dan AYSB.

iii. Keluasan kawasan yang terlibat dengan penerokaan haram akan ditentukan oleh JPNK.

Ini menunjukkan bahawa kelulusan dasar secara asas adalah kelulusan ini demi membaik pulih semula kawasan yang diteroka haram oleh perompak hutan negeri ini. Maka syarikat tersebut sesuai dengan syarat yang ditetapkan pada bilangan (ii) di atas telah mencadangkan projek tanaman durian kunyit yang juga diklasifikasikan sebagai pokok hutan sebagai usaha penyelesaian kepada masalah teroka haram sebelum daripada ini yang sememangnya langsung tidak menguntungkan rakyat.

Dan isu keluasan sebanyak 1,697 ha ataupun 4,192 ekar itu telah dijawab oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan dengan jelas tempoh hari iaitu dimanakah wujudnya angka tersebut? Dari manakah tuan memperolehi angka tersebut? Buktikan keabsahan angka tersebut dalam tuduhan tuan. Jangan bertindak seperti "cybertrooper" yang gemar mengutip maklumat rencam yang tiada asas dan premis yang kukuh. Mungkin tuan pada masa itu sedang sibuk menyambut ulang tahun pertama kelahiran parti tuan sehingga terlepas pandang jawapan yang penting seperti itu.

Kesimpulannya kami ingin tegaskan bahawa semua yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah semata-mata mahu melihat hasil yang sepatutnya mengalir ke tangan rakyat, dapat dinikmati sebaiknya. Dan puak PAN harus mencermin muka sendiri apakah usaha kumpulan mereka dalam menyelesaikan masalah teroka haram ini sewaktu mereka menjawat jawatan di dalam kerajaan dahulu. Jika anda dahulu telah gagal menangani isu sebegini, maka janganlah pula nakal dan galak ingin mengkritik usaha baik yang sedang diusahakan kerajaan negeri saat ini.

Kami anak muda Kelantan menanti dengan penuh sabar untuk tuan bertindak secara anak jantan. Laporkan pada SPRM jika ada salah laku dan penyelewengan dalam isu ini. - HARAKAHDAILY 27/9/2016

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Share on Myspace