Dr Daeng Sanusi Mariok: Ulama senior PAS

HARAKAHDAILY | .

Tokoh ulamak PAS paling senior yang masih ada dalam kepemimpinan PAS sekarang ialah Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Ustaz Dr Haji Daeng Sanusi Daeng Mariok. Tokoh berdarah raja dari keturunan Bugis yang berasal dari Benut, Pontian, Johor ini dilahirkan pada 8 Oktober 1936. Beliau mempunyai sejarah hidup yang sangat mencabar kerana konflik keluarga yang tercetus akibat persaingan pengaruh dalam keluarga diraja Bugis yang baru berhijrah dari Tanah Bugis di Sulawesi ke Johor pada awal abad ke-20, akibat penjajahan Belanda. Ayahnya, Raja Ibrahim adalah seorang putera yang dikenali sebagai Daeng Mariok selepas ditabalkan mengikut adat istiadat Bugis, telah berhijrah ke Kalimantan akibat krisis tersebut.

Membesar sebagai seorang putera Bugis yang kehilangan bapa tidak menghalang Daeng Sanusi untuk menjadi seorang yang berjaya walaupun pada awalnya beliau terlewat mengikuti pendidikan secara formal akibat krisis tersebut. Beliau mendapat pendidikan agama Madrasah Arabiyah Keluang pada 1951 sebelum memasuki Kolej Islam Malaya (KIM) pada 1959 dan sempat belajar bersama Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Lulus Sijil Tertinggi (Aliyah) di KIM pada 1963 telah membolehkan beliau melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar untuk ijazah sarjana (MA) dalam bidang Usuluddin dan lulus pada 1966. Dengan kelayakan ini, beliau pada awalnya menjadi penceramah di Radio Johor, sebelum dilantik sebagai pensyarah KIM, Petaling Jaya sehingga kolej ini diserap sebagai Fakulti Pengajian Islam UKM pada 1972.

Dari Universiti ke Pejabat Agung PAS

Sebagai pensyarah UKM, beliau mendapat biasiswa untuk menyiapkan kajian kedoktoran dalam bidang Usuluddin di Universiti Darul Ulum, Kaherah dan berjaya menghabiskan pengajiannya pada 1975. Setelah kembali ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM sehingga bersara pada 1989. Kerana aktif dalam PAS, beliau ‘disekat’ daripada menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran dan juga akademik walaupun beliau adalah pensyarah pengasas UKM, bahkan sejak KIM lagi. Nama beliau lebih terkenal sebagai pemimpin PAS, berbanding sebagai seorang ahli akademik kerana beliau mula menonjol sebagai pemimpin PAS terutama setelah menamatkan PhD-nya di Kaherah pada 1975. Menurut tokoh yang lebih mesra dengan panggilan “Pak Daeng” ini, pada 1976 beliau dipanggil oleh Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS untuk meminta beliau aktif dalam kepemimpinan PAS.

Pak Daeng sebenarnya adalah antara tokoh ilmuan muda yang sangat rapat dengan Dato’ Mohd Asri sejak pertengahan 1970-an. Beliau sebetulnya mempunyai sejarah penglibatan dalam PAS sejak 1954, di mana beliau turut terlibat mengasaskan PAS Cawangan Benut, iaitu cawangan PAS yang kedua di Johor pada 6 Mei 1954, ketika berusia 18 tahun. Beliau menjadi ‘pekerja’ PAS Johor sebelum menjadi ahli PAS ketika berada di KIM pada 1966. Kerana kedudukan beliau sebagai pensyarah, kemudiannya melanjutkan pengajian ke Mesir, saat itu nama beliau belum disebut orang. Kejayaan beliau menamatkan pengajian kedoktoran pada 1975, menyebabkan beliau antara tokoh muda lulusan agama (selain Dr Haron Din, Ustaz Ali Taib dan Dr Ishak Rejab) yang mendapat perhatian Dato’ Mohd Asri dalam membentuk kepemimpinan pelapis PAS.

Dengan kesanggupan beliau untuk berkhidmat kepada perjuangan Islam, pada 1976, beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Nama beliau melonjak dengan mendadak apabila beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat untuk sesi 1977-1979, selain dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Johor. Namun, ketika itu tercetus krisis kepemimpinan PAS akibat isu Dato’ Mohamad Nasir yang diikuti oleh pemecatan PAS dari BN pada 1977. Setelah itu, kerajaan telah menggunakan AUKU untuk menghalang kakitangan akademik daripada aktif dalam politik, yang menyebabkan Pak Daeng terpaksa berundur dari kepemimpinan PAS. Setelah era kepemimpinan ulamak, Pak Daeng hanya menduduki Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan dipilih semula sebagai Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada sesi 1987-1989. Jawatan Naib Ketua ini adalah timbalan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Kemunculan semula Pak Daeng dalam kepemimpinan utama PAS ialah ekoran perletakan jawatan Ustaz Nakhaie Ahmad dari semua jawatan parti, termasuk Ahli Majlis Syura Ulamak PAS pada akhir 1988. Pada 30 Ogos 1988, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Pak Daeng menduduki majlis tertinggi itu menggantikan Ustaz Nakhaie Ahmad dan terus berada dalam Majlis Syura Ulamak PAS sehingga 2007. Beliau turut menggantikan Ustaz Nakhaie Ahmad sebagai Pengarah Urusan Harakah pada 1988 hingga diambil alih oleh Ustaz Azizan Abdul Razak pada 1993. Dalam pemilihan parti pada 1989, ekoran pengunduran Pak Yusof Rawa, Pak Daeng terpilih mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, iaitu Naib Yang Dipertua Agung PAS bersama Ustaz Hassan Shukri, tokoh yang menjadi mentornya dalam kepemimpinan PAS pada 1970-an.

Pak Daeng menjadi Naib Presiden PAS selama lapan tahun sehingga 1997, di mana pengunduran beliau membolehkan Cikgu Mustafa Ali mengambil tempat tersebut. Walaupun tidak lagi menjadi Naib Presiden PAS, namun Pak Daeng kekal sebagai Pesuruhjaya PAS Johor, jawatan yang dipegangnya sejak 1996 sehingga diserah kepada Prof Dato’ Dr Mahfodz Mohamad pada 2005. Beliau turut kekal sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS selama enam penggal sejak 1988 hingga 2007. Salah satu pencapaian penting Pak Daeng ialah kejayaan beliau memenangi kerusi Parlimen Rantau Panjang, Kelantan untuk memboleh beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dari 1990 hingga 1999. Pada 2004, beliau bertanding di DUN Parit Raja, Johor, tetapi tewas. Sejak itu, beliau memilih untuk tidak lagi aktif dalam politik, sebaliknya memberikan tumpuan kepada perniagaan keluarga dan terlibat dalam industri pertanian.

Pak Daeng Muncul Semula

Persaraan Pak Daeng dari jawatan-jawatan kepartian ternyata tidak dapat membebaskan beliau dari mengikuti perkembangan PAS, parti yang dipimpinnya sejak 1976. Berjuang bersama PAS sejak 1954 merupakan pengalaman manis yang menyukarkan beliau meninggalkan begitu sahaja perjuangan PAS. Pada 2007, Pak Daeng telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, sebelum dibawa semula dalam kepemimpinan PAS sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 2015 di mana beliau berjaya menangani krisis kepemimpinan PAS yang tercetus selepas Muktamar PAS 2015 di Kuala Selangor. Kini Pak Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok merupakan ulamak PAS paling senior yang masih aktif dalam generasi awal PAS bersama Ustaz Hassan Shukri sejak awal 1950-an dan generasi kepemimpinan bersama Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din sejak 1970-an.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
27 September 2016 - HARAKAHDAILY 27/9/2016

Share on Myspace