PAS akan lancar Kumpulan Veteran Wilayah Persekutuan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan majlis pelancaran Kumpulan Veteran PAS Wilayah Persekutuan pada hari Ahad 6 Oktober 2016 jam 9.00 malam.

Pelancaran tersebut akan dilaksanakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat di Markas PAS Bandar Tun Razak,  Kampong Malaysia Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Kumpulan Veteran PAS Wilayah Persekutuan Haji Subky Latif sempena majlis pelancaran itu Tuan Guru Presiden akan mengisytiharkan nama baru bagi kumpulan tersebut.

Inisiatif membentuk kumpulan ini adalah bagi menyediakan platform untuk orang-orang lama yang masih istiqamah dalam PAS serta sudah tiada memegang sebarang jawatan di mana-mana peringkat organisasi PAS, tambah beliau.

Orang-orang lama yang istiqamah ini sarat dengan pengalaman berorganisasi yang dapat menasihat dan  membantu PAS dalam menangani sebarang konflik yang dihadapi, tambah beliau lagi. Beberapa tokoh tetamu jemputan dijangkakan akan turut hadir bersama-sama menyerikan majlis tersebut.

Antaranya tokoh veteran PAS Dr Daeng Sanusi Mariok, ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim dan Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Sempena pelancaran itu juga akan berlangsung ceramah umum bertajuk "RUU 355 apa cabarannya" yang akan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Presiden.

Oleh itu orang ramai dijemput hadir bersama mendapatkan pencerahan dan penerangan mengenai isu tersebut. – HARAKAHDAILY 27/9/2016

Share on Myspace