PAS terbitkan Dokumen Hijau Siri Pertama

HARAKAHDAILY | .

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan menerbitkan Dokumen Hijau Siri Pertama dalam tempoh masa yang terdekat. Dokumen Hijau Siri Pertama ini berkisar di atas tema "Gagasan PAS dalam Menyelesaikan Permasalahan Ekonomi Negara".

Di dalam siri pertama ini, beberapa polisi yang pratikal berasaskan Sistem Pemerintahan Islam dikemukakan bagi menyelesaikan beberapa kemelut ekonomi yang ditimbulkan dalam Bajet 2016 yang lalu.

Berdasarkan kepada Bajet 2016 yang sedang dilaksanakan sehingga akhir tahun ini, tiga masalah utama yang membebankan rakyat telah dikenalpasti, iaitu GST, Penurunan Nilai Ringgit dan Kenaikan Kos Sara Hidup.

Dengan memfokuskan kepada ketiga masalah tersebut, Dokumen Hijau Siri Pertama ini antara lain telah mengemukakan dua jenis cukai yang tidak membebankan rakyat sebagai alternatif kepada GST dan Skim Mampu Memiliki Rumah.

Sebahagian daripada langkah-langkah ini telah diutarakan oleh ahli-ahli Parlimen PAS semasa membahaskan Bajet 2016 pada hujung tahun lalu. Manakala Skim Mampu Memiliki Rumah yang berbeza dari Skim Rumah Mampu Milik, telahpun dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk dipertimbangkan perlaksanaannya baru-baru ini.

Dokumen Hijau mencadangkan skim ini disebabkan kos perumahan adalah perkara utama yang mengurangkan pendapatan boleh berbelanja rakyat.

PAS akan terus menerbitkan siri-siri Dokumen Hijau ini dari semasa ke semasa supaya permasalahan yang sedang membebankan rakyat dapat di atasi. Dokumen Hijau ini juga akan dicadangkan kepada pihak kerajaan untuk mereka mengambil langkah-langkah yang perlu demi kebaikan negara dan rakyat.

Penerbitan Dokumen Hijau ini juga merupakan salah satu pendekatan PAS dalam mengajak rakyat melakukan anjakan ke arah berpolitik secara matang dan sejahtera.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP)
25 Zulhijjah 1437 / 27 September 2016 - HARAKAHDAILY 27/9/2016

Share on Myspace