Anak muda diseru amati lirik lagu istiqamah

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

PENGKALAN CHEPA: Anak muda khususnya pendokong perjuangan PAS disaran mengamati lagu ‘Istiqamah’ bagi membangkitkan semangat juang pada diri masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan dan Ngo negeri, Dr Ramli Mamat berkata, lirik lagu tersebut begitu baik jika diteliti sebaik mungkin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Kursus Kenegaraan 2016.

Seramai 1,206 pelajar sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (Yik) peringkat pimpinan mengikuti program yang diadakan sejak bulan Febuari lalu.

Beliau mewakili Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, yang tidak dapat hadir pada majlis itu.

Katanya, dalam situasi sekarang semangat perjuangan perlu dihidupkan dalam apa cara sekalipun.

“Mungkin jarang yang mendengar lagu tersebut, cuba kita amati tentu bait-bait liriknya menyentuh perasaan kita,”ujarnya.

Katanya, ketika mana parti diserang oleh pihak tertentu sehingga tertubuhnya parti lain, perlunya semangat jihat ditiupkan sentiasa agar sentiasa kental.

Menyentuh tentang kursus itu pula, itu pula beliau berkata ianya dapat memupuk sikap murni seorang pelajar khususnya sebagai pelapis pimpinan.

“Moga anak-anak dapat menjadi pelapis pada perjuangan Islam yang cukup lengkap sama ada dari segi mental dan fizikal,”ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik) Che Kamaruddin Kamil Mohamed berkata, program itu diadakan bertujuan meningkatkan keupayaan diri sebagai seorang pemimpin di kalangan pelajar.

Katanya, pelajar yang terpilih seramai 1,042 dari 38,000 orang pelajar sewajarnya disyukuri kerana mereka antara insan terpilih.

“Program ini juga antara program pentarbiahan diri, mendidik pelajar lebih berani bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang berilmu,”ujarnya.

Menurutnya, apabila mereka telah berjaya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, tidak sukar lagi jika dipilih sebagai seorang pemimpin.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, Penolong  Pengarah Hal Ehwal Murid, Azhar Salleh dan pengarah program, Ustaz Roslan Ismail.

Selain membaca ikrar mendokong perjuangan Islam, pelajar turut memegang risalah sebagai tanda sokongan terhadap Akta 355. – HARAKAHDAILY 28/9/2016

Share on Myspace