Himpit 2016: Gelombang terbesar pemuda Terengganu

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan mengadakan program tahunannya, Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) bermula 30 September hingga 1 Oktober 2016 di Pekan Kemasik, Kemaman.

Berlainan dengan himpunan sebelum ini, Himpit 2016 diadakan bersama program skala besar Himpunan Harapan Semua (Harap 3.4) anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Ini sebagai tanda DPPNT menyambut penuh dalam menjayakan program himpunan dwitahunan rakyat Terengganu terbesar.

Nostalgia kejayaan Himpit 2011 akan diterjemahkan kembali dengan menjadikan Himpit 2016 sebagai pentunjuk arah golongan anak muda Islam untuk terus membantu dan memenangkan jemaah Islam, khususnya di Negeri Terengganu bagi menghadapi PRU14 nanti.

Berdasarkan rekod awal hampir 5,000 pemuda telah membuat pendaftaran awal, kami percaya Himpit 2016 bakal mencipta sejarah penglibatan pemuda Islam teramai dalam sejarahnya.

Ditambah dengan palu gendang pilihan raya ke-14 semakin rancak, strategi kotor Barisan Nasional merubah persepadanan pilihan raya melalui SPR telah membakar semangat anak muda. Mereka bakal datang menyatakan ikrar ketaatan dan keikhlasan mereka sebagai simbol kesepakatan mereka akan bersama-sama dengan kepimpinan ulama dalam merealisasikan harapan PAS menawan kembali Terengganu buat kali yang ketiga.

Suara mereka suara keramat, suara pemuda suara yang mempunyai kuasa untuk menjatuhkan pemimpin yang khianat. Kami yakin, anak muda akan buktikan bahawa mereka mampu mengubah kezaliman yang kejam ini kepada keadilan dan kemenangan Kerajaan Islam di Terengganu.

Ayuh Orang Muda Geng Kita, kita datang berkampung di program Himpit 2016 dan program Harap 3.4 bersama rakan-rakan yang cintakan kemenangan Islam dari seluruh pelosok Negeri Terengganu. Kesatuan suara pemuda ketika waktu hampir PRU perlu diterjemahkan dalam perjumpaan ini. Himpit 2016 merupakan suatu kesatuan dan himpunan yang akan membangkitkan semangat dan keyakinan dalam kalangan pejuang Islam. Pastikan tiada pemuda diperingkat JPC yang tertinggal untuk bersama kita.

Kami tunggu kedatangan anda semua. Moga sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

USTAZ KAMARUZAMAN ABDULLAH
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu - HARAKAHDAILY 28/9/2016

Share on Myspace