Semua muslim, daftarlah sebagai pengundi

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SAYA ingin ajak kepada semua muslim, warganegara Malaysia khususnya dari apa jua latarbelakang anda untuk berdaftar sebagai pengundi. Ia bukan sahaja tanggungjawab setiap rakyat, tapi juga kewajipan setiap muslim.

Kenapa saya berkata begitu? Kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi dalam menentukan pemimpin negara. Di tangan pemimpin terletaknya keputusan untuk melakukan apa sahaja terhadap negara ini sama ada yang halal atau yang haram. Demokrasi memberi hak kepada setiap rakyat memilih pemimpin yang mereka mahu. Caranya ialah mengundi pada pilihan raya.

Benar. Demokrasi adalah ciptaan barat (walaupun ideanya diambil dari tamadun Islam). Kita tidak sekali-kali beriman bahawa demokrasi adalah sistem Islam. Namun sekiranya kita umat Islam mengambil langkah boikot demokrasi dan boikot pilihan raya, ia akan didominasi oleh pihak lain dalam negara ini.

Sedarlah negara kita hanya memiliki sekitar 60 peratus muslim. Bermakna non muslim 40%. Jika kita boikot, mungkin peratus muslim akan berkurang hingga ke 30-20%. Sedangkan penganut agama lain komited berdaftar sebagai pengundi. Tidak mustahil dengan kelekaan mengundi ini menyebabkan pemimpin negara akan datang adalah pilihan orang bukan Islam.

Justeru saya mohon mana-mana jemaah Islam yang menolak demokrasi dan memboikot pilihan raya supaya berfikir dua kali. Kalaupun berpendapat demokrasi ini haram dan tidak syar'ie, fikirkan semula ia sebagai darurat yang diharuskan kerana menolak mafsadah yang sangat besar; bimbang negara jatuh ke tangan musuh Islam.

Walaupun ada pengalaman lepas menunjukkan demokrasi tidak memberikan kemenangan kepada Islam, tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha. Jadikan faktor-faktor penggulingan FIS di Algeria dan IM di Mesir sebagai panduan untuk kita berjaga-jaga.

Kepada jemaah-jemaah Islam lain. Jalankanlah operasi jemaah anda seperti biasa. Kami tidak menghalang. Bahkan dalam perkara yang baik dan tidak bercanggah, pasti kami sokong. Cuma minta sedikit kompromi, benarkanlah ahli anda mengundi. Mintalah mereka berdaftar.

Urusan melantik pemimpin bukan sekadar urusan dunia. Ia bakal dipersoal di hari akhirat kelak. Jika ditakdirkan dengan sebab kita tidak mengundi maka kemenangan berpihak kepada musuh Islam, lalu dasar-dasar negara yang menjamin urusan agama ini dihapuskan olehnya, maka menjawablah kita di hadapan Allah nanti. Sesungguhnya tiada satu pun perkara yang akan terlepas dari hisab Allah walau sebesar zarah.

Allah berfirman kepada semua orang beriman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang layak menerimanya). [An-Nisa:58]

Wajib menjalankan perintah tuhan melantik pemimpin yang akan menggalas amanah kepada yang benar-benar layak. Jika wajib, maka apa hukum meninggalkannya? Apakah amanah terbesar selain dari kuasa pemerintahan.

Yang mahu meneruskan agenda dakwah fardi, teruskan. Ia amat baik sekali. Yang berjuang menegakkan khilafah, teruskan. Kami juga berkongsi cita-cita yang sama. Yang mengambil pendekatan zikir dan pembersihan jiwa, tafaddol. Anda memiliki peranan tersendiri. Namun tolonglah hanya untuk sekali seumur hidup berdaftar sebagai pengundi dan sekali untuk setiap 4-5 tahun untuk keluar mengundi. Kerja-kerja politik selain itu serahkan sahaja pada kami.

Menolak politik dan pemerintahan bakal menyebabkan agama kita makin lemah. Sabda Rasulullah SAW:

لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضاً الحكم، وآخرهن الصلاة

Akan terurai sedikit demi sedikit ikatan Islam. Setiapkali terungkai, manusia akan berpaut pada ikatan yang seterusnya. Maka perkara pertama yang akan terurai adalah pemerintahan, dan yang terakhir adalah sembahyang. (HR Ahmad)

Tinggal dua hari sahaja lagi sebelum suku ketiga daftar pemilih ditutup. Jika ditakdir bulan Mac berlaku pilihan raya, maka mereka yang tidak mendaftar sebelum 1 Oktober tidak boleh mengundi.

Dengan bacaan politik hari ini, sangat besar kemungkinan untuk pilihan raya berlaku pada bulan tersebut. Ini kerana situasi kini adalah paling selesa buat pemerintah.

Usah bercakap soal kos sara hidup, soal ketelusan undang-undang, pendidikan, keamanan, ekonomi dan sebagainya tapi diri tidak berdaftar. Buat malu sahaja.

Saya merayu. – HARAKAHDAILY 28/9/2016

Share on Myspace