Umno persoal AKSB, PAN serang durian kunyit

NAZMAN CHE IBERAHIM | .

SEMINGGU dua ini antara yang hangat di pasaran politik domestik Kelantan adalah AKSB, Restorasi, Migrasi dan Durian Kunyit. Ya, memang hangat dan memang panas. Kumpulan Restorasi tajaan Umno dengan galaknya mahu tukar dan rombak pengurusan AKSB, dan berlindung di bawah sokongnya mereka kepada Migrasi.

Manakala kumpulan parti oren dengan isu durian kunyitnya, yang mana segala dokumen, surat mohon, surat lulus dasar, pelan hutan itu dan ini, semuanya disebar dan diviralkan, kadang-kadang tanpa memahami pun apa yang sedang berlingkar di sebalik.

Kita berbicara isu air di Kelantan, tetapi bicaralah dengan minda yang terbuka. Dalam perancangan prasarana bekalan air, ia bukanlah sesuatu yang mudah persis berarak dan mengangkat kad manila, perlu untuk kita mengambil kira statistik lampau, keadaan semasa serta unjuran penggunaan dan juga jumlah pengguna.

Menguruskan isu bekalan air dalam kerangka sempit politik Malaysia sejak dahulu kala, namun dimurnikan akhir-akhir ini dengan tonik politik matang dan sejahtera tidak semudah perumpamaan orang tua-tua iaitu "jenis katok ular mapus". Kumpulan Restorasi antara yang boleh disebut dalam perumpamaan di atas.

JKR - Kelantan Water - AKSB. Ketiga tiga nama ini cukup sinonim sebagai penyedia bekalan air bersih Kelantan sedari 1950-an hinggalah sekarang. Perubahan warna politik di Kelantan pada tahun 1990, sedikit sebanyak merubah kaedah dan gaya federalisma. Ia membawa kepada kecelaruan dan kesan langsung terhadap bekalan air di Kelantan. Yang paling jelasnya, tiada pembangunan air sejak 1990 sehinggalah tahun 2003.

Ramai tertanya tanya ke mana perginya RM600 juta atau RM770 juta. Ya!!! Ke mana ya? Cuba kita bertanya kembali, pada tahun 2003, berapakah jumlah penduduk Kelantan dan berapa ramaikah yang menggunakan air AKSB? Pada tahun 2016 pula, berapa ramaikah penduduk Kelantan dan berapa ramai yang menggunakan air AKSB?

Pada tahun 2003, AKSB mempunyai 120,000 akaun sahaja atau sekitar 600,000 pengguna. Namun setelah 13 tahun berlalu sehingga sekarang, terdapat 240,000 akaun atau 1.2 juta pengguna yang melanggan air AKSB. Diulangi, 1.2 JUTA pengguna yang mendapat manfaat daripada Bekalan Air AKSB.

Dari mana datangnya tambahan 120,000 akaun ini? Ya, tidak lain dan tidak bukan ia datang daripada penggunaan pinjaman RM770 juta itulah tuan-tuan yang budiman. Dan wajib kita fahami, AKSB bukan semata-mata memberi servis kepada 120,000 akaun pada tahun 2003 sahaja, tetapi pinjaman RM770 juta itu juga, dihabiskan untuk pembangunan 10 tahun lampau (lost development years) dan 10 tahun ke hadapan sehingga kini.

Maka ringan ringankanlah minda dan otak kita untuk berfikir secara waras menggunakan kurnian Allah SWT ini.

RM770,000,000 dibahagi 120,000 akaun
= RM6,400 sebuah rumah atau
= RM1,280/kepala

Ini jika dikira pembangunan semasa sahaja, namun jika dipukul rata dengan pembangunan lampau dan pembangunan masa hadapan (240,000 akaun, mewakili 1.2 juta pengguna), maka jumlah kiraan di atas akan menjadi lebih kecil.

Apabila ditanya ke mana pergi RM600 juta atau RM770 juta, maka itulah jawapannya. Ramai juga yang tidak tahu bahawa sepanjang tahun 1991 sehingga 2000, banyak permohonan kelompok terpaksa dibekukan. Dan dengan RM770 juta itu jugalah, bekalan air bersih dapat dimajukan dan dikembangkan. Usahlah bertanya ke mana RM770 juta seakan akan mengangggap AKSB dan Kerajaan Negeri duduk berpeluk tubuh semata-mata, tidur dan lumpuh sepanjang masa.

Berbalik kepada isu durian kunyit, saya cukup yakin bahawa isu ini dibawa hanya dengan niat dan matlamat yang satu, yang agung, iaitu demi mencemar imej dan membina persepsi buruk terhadap Kerajaan Islam Kelantan.

Belum cukup isu Range Rover, isu balak dan kaitan banjir, isu Krabi, Isu tanah Kampung Laut, isu sampah MPKB dan beberapa yang lain, durian kunyit menjadi taruhan terbaru mereka. Saya tidak nampak di mana untungnya mantan Exco kerajaan bertempur dengan pembalak muda dari Kuala Krai saat ini. Semakin diselak isu balak dengan pembalak, mereka makin gembira. Tapi apabila pembalak menyelak kain orang politik, maka makin sakit kepala dibuatnya.

Falsafah orang putih ada menyebut, pertarungan ini "ibarat bergomol dengan kerbau dalam kubang selut, kamu rasakan yang kamu menang, tetapi kerbau sebenarnya gembira dan mahu lawan lagi".

Jadi saya sarankan, hentikanlah menyerang pembalak untuk dijadikan kambing hitam bagi memburukkan imej kepimpinan ulama di Kelantan. Ia tiada untung, dan silap haribulan rugi pula. – HARAKAHDAILY 28/9/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Share on Myspace