Jumaat selamatkan Aleppo - Kesatuan Ulamak Sedunia

HARAKAHDAILY | .

Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Sheikh Dr Ali Al-Qurrah Daghi, menyeru umat Islam, bangsa Arab, dan seluruh dunia agar menzahirkan kemarahan pada hari Jumaat ini, 30 September, dengan menggunakan hashtag اغضب_لحلب# sebagai tanda sokongan kepada bandar Aleppo yang dicengkam kekejaman rejim Syria serta sekutu mereka yang disaksikan seluruh dunia.

Namun, menurutnya lagi, kekejaman ini tidak akan membuahkan sebarang hasil kerana harapan yang ada hanya kepada Allah agar memberi kemenangan Revolusi Syria Merdeka mengalahkan musuh-musuhnya serta juga harapan buat masyarakat dunia yang wajib membantu rakyat Syria menghadapi isu ini.

Sheikh Al-Qurrah Daghi turut menyeru ulamak, para khatib dan barisan pimpinan seluruh dunua agar memfokuskan khutbah Jumaat mereka nanti tentang Aleppo, kebangkitan dan kejatuhannya ke tangan para diktator, serta menyebut tentang peranan ummah dan dunia.

Beliau turut menyeru supaya para ulamak berada di barisan hadapan seluruh ummah dalam menzahirkan kemarahan dan tekanan demi menumbangkan kezaliman dan sikap kuku besi dari terus membelenggu bumi Syria dan tanah-tanah lain yang dijarah dan dihancurkan tangan-tangan jahat.

Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia itu juga menyeru masyarakat antarabangsa agar menghentikan sebarang hubungan politik serta membongkar topeng Bashar Al-Asad, rejimnya dan sekutu mereka serta menyokong rakyat Syria mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata demikian sambil menegaskan bahawa umat ini tidak akan terus-menerus dalam keadaan lemah bahkan jiwa merdeka mereka dinanti-nantikan suatu masa nanti. (http://ulamasedunia.org)

Share on Myspace