Segerakan perolehan taraf universiti untuk KUIN

HARAKAHDAILY | .

MEREALISASIKAN Kolej Universiti Insaniah (KUIN) agar mendapat status univeristi penuh perlu menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri Kedah. Amat mendukacitakan apabila banyak usaha sebelum ini seakan terhenti dan tidak dipedulikan, sedangkan KUIN telah menjadi jantung hati negeri Kedah.

Kita mahu kerajaan secepat mungkin menyempurnakan segala yang telah dikembangkan mantan Menteri Besar, Almarhum Tan Sri Datuk Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak. Malah, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong juga telah bertitah pada Majlis Konvokesyen KUIN menyatakan hasrat Baginda mahu melihat status tersebut pada tahun hadapan.

Seruan Baginda itu mesti segera dijunjung kerana ini juga adalah impian seluruh rakyat negeri Kedah. Hanya beberapa langkah sahaja lagi diperlukan untuk melihat cita-cita itu menjadi kenyataan. Tidak ada sebab untuk dilengahkan lagi, sedangkan kerajaan boleh menguar-uar pelbagai projek mega lain walaupun ia masing diawangan.

Almarhum Ustaz Azizan telah bersungguh-sungguh dalam masa kurang lima tahun melakukan pelbagai naik taraf. Baik pengembangan dan pelbagai tawaran program pengajian berasaskan teras Islam dari peringkat asasi hingga Doktor Falsafah dan para pegawai universiti berkelayakan, hinggalah mewujudkan prasarana dan infrastruktur akademik khususnya yang kita banggakan iaitu Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil.

Malah, sepanjang tempoh itu telah menerima pelbagai pengiktirafan dan kejayaan antaranya memperolehi penarafan Tier 4 SETARA, selain pelbagai program untuk menaikkan imej dan mutu KUIN. Beliau juga telah pasakkan agenda untuk KUIN menjadi ‘wakil’ Universiti Al-Azhar dan Universiti Oxford, selain Kedah sebagai hub-pendidikan Islam di rantau ini.

Begitu juga kegemilangan Majlis Konvokesyen pada 24 September lalu menyaksikan kira-kira 1,500 graduan menerima sijil akademik masing-masing. Jumlah ramai dalam sejarah KUIN ini adalah dari kemasukan dan pengambilan pada zaman Ustaz Azizan yang purata setiap sesi seramai 2,000 pelajar. Malangnya, sejak di bawah pemerintahan Umno-BN, jumlah pengambilan kini kurang 1,000 pelajar pada setiap sesi.

Inilah masa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menebus semula kesilapan  Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang pernah ketika pada zaman pentadbiranya berura-ura mahu "menjual" KUIN kepada pihak lain.

Bahkan perlu diakui bahawa dalam hanya kurang tiga tahun, Mukhriz telah ‘melenyapkan’ banyak cita-cita pengembangan berkaitan pendidikan negeri Kedah seperti Maahad Tahfiz Sains Darul Aman yang dicadangkan di Pulau Tuba, Langkawi, penyerahan rangkaian Maktab Mahmud kepada Kerajaan Persekutuan serta kem-kem pembinaan insan.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 20/9/2016

Share on Myspace