NGO R serah memorandum sokongan RUU kepada MB

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob melahirkan rasa bangga terhadap badan bukan kerajaan (NGO) Royalti kerana perihatin terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355.

Katanya, meskipun NGO tersebut memperjuangkan tuntutan royalti minyak, namun demi untuk kepentingan umat Islam, RUU turut diperjuangkan mereka.

“Saya ucapkan tahniah pada aktivis anak muda dari Ngo R ini kerana  menyokong usaha yang bakal dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Oktober ini.

“Saya juga mendapati pihak mereka (R) mengedarkan risalah berkaitan RUU kepada orang ramai supaya memahami kenapa akta berkenaan perlu dipinda,” ujarnya.

Selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco tengahari semalam, beliau menerima memorandum sokongan pindaan RUU dari aktivis Royalti (R) di Kota Darulnaim.

Memorandum berkenaan diserahkan Pengerusi R, Nazri Deraman.

Hadir sama pada penyerahan memorandum tersebut, anggota-anggota exco kerajaan negeri dan anggota-anggota jawatankuasa Ngo R Kelantan.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, mengucapkan penghargaan terhadap Ngo berkenaan di atas usaha yang dilakukan.

Sementara itu Nazri ketika ditemui memberitahu, walaupun RUU Akta 355 bukan hukuman hudud, namun diharap ia memberi ruang yang lebih mudah ke arah usaha melaksanakan hukuman terbabit pada masa hadapan.

Katanya, walaupun pindaan itu tidak kepada hukuman hudud, tetapi ia memberi ruang yang lebih luas kepada Kelantan dan Terengganu yang ingin melaksanakan hudud pada masa hadapan.

Beliau turut memberitahu, tujuan penyerahan itu juga untuk menzahirkan sokongan R Kelantan secara rasmi  terhadap RUU.

“R memberi  sokongan ini dengan harapan supaya ianya berjaya dibentangkan.

“R juga berharap sokongan ini turut memberi semangat pada anggota Parlimen nanti untuk memberi sokongan di Dewan Rakyat nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/9/2016

Share on Myspace