Kelantan lantik penyelaras teknologi maklumat

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Seramai 45 orang petugas pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun) menerima watikah perlantikan sebagai Penyelaras Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
 
Watikah tersebut diserahkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam satu majlis khas di Bilik Gerakan Negeri di sini.
 
Sebelum ini, pegawai ICT yang berkhidmat di peringkat Dun berkenaan  dibayar alaunnya oleh Adun masing-masing.
 
Walau bagaimanapun, bagi mempertingkatkan keberkesanan maklumat di peringkat Dun, kerajaan negeri  bersetuju  mewujudkan penyelaras ICT dengan alaun bulanan sebanyak RM900.
 
Ahmad ketika berucap pada majlis itu berkata manusia hari ini tidak boleh mengenepikan  kepentingan teknologi berkenaan dalam kehidupan mereka.
 
Katanya, banyak kepentingan khususnya dari segi maklumat dapat diambil dan disalurkan untuk kepentingan masyarakat.
 
"Pelantikan itu (penyelaras teknologi maklumat) untuk kepentingan pentadbiran di peringkat Dun supaya ia berfungsi dengan cara yang lebih baik.
 
"Selain itu, maklumat yang jelas perlu disampaikan kepada rakyat mengenai usaha yang dibuat  kerajaan negeri untuk mereka termasuk dalam menangkis perkara tidak benar," katanya.
 
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Infrustruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumt, Datuk Hanifa Ahmad dan timbalannya, Mohd Zaki Ibrahim. – HARAKAHDAILY 29/9/2016

Share on Myspace