Muslimat PAS ucap tahniah kepada Abdullah Fahmi

HARAKAHDAILY | .

Tahniah Abdullah Fahmi Juara International Quran Reciting Competition, Rusia                                                         

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada saudara Abdullah Fahmi atas kejayaan beliau merangkul Juara dalam "17th Moscow International Quran Reciting Competition" yang berlangsung di Moscow, Rusia.

Pertandingan ini disertai oleh peserta dari 30 buah negara dan hanya lima orang terpilih untuk memasuki peringkat akhir selepas sesi saringan diadakan. Saudara Abdullah Fahmi yang merupakan antara lima orang tersebut jelas membuktikan beliau seorang yang cukup hebat.

Bakat Abdullah Fahmi mula menjadi perhatian ramai selepas beliau menjuarai Akademi Al-Quran musim pertama.

DMPM cukup berbangga dengan pencapaian beliau dan berharap agar kehebatan ini mampu dicontohi oleh semua lapisan masyarakat terutama anak muda yang akan menjadi pelapis kepimpinan negara.

Semoga kejayaan beliau menjadi perangsang untuk menyuburkan lagi budaya menghidupkan Al-Quran dalam diri umat Islam khususnya di negara kita.

Uthman bin Affan Radhiyallahu‘anhu berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” [Hadith riwayat Bukhari]

DMPM mendoakan agar saudara Abdullah Fahmi terus maju jaya dalam sebarang bidang yang beliau ceburi, terutama sekali pengajian al-Quran. DMPM juga ingin menyeru semua umat Islam untuk sama-sama membudayakan Al-Quran dalam kehidupan seharian demi meraih mardhotillah.

Tahniah Abdullah Fahmi!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 29/9/2016

Share on Myspace