RUU 355: PAS Ipoh Barat sampaikan suara rakyat

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Pindaan Akta 355 perlu disokong oleh semua pihak terutama Ahli Parlimen dalam persidangan yang bakal berlangsung tidak lama lagi dengan matlamat untuk memartabatkan peranan Mahkamah Syariah, demikian menurut Ketua Penerangan PAS Kawasan Ipoh Barat, Ustaz Abbas Azizuddin, di Taman Idris, di sini.

Jelasnya, usaha Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan membawa usul persendirian sekaligus membawa mesej rakyat beragama Islam di Malaysia.

Abbas berkata, PAS Kawasan Ipoh Barat telah berjumpa dengan wakil kakitangan Ahli Parlimen Ipoh Barat, YB Kulasegaran V.Murugeson di pejabatnya serta mengaturkan pertemuan pada masa yang akan ditentukan.

"Kami telah menyerahkan Petisyen Sokongan Akta 355 kepada kakitangan pejabatnya untuk perhatian awal pihak beliau.

"Rakyat beragama Islam berharap agar pindaan Akta 355 dalam sidang parlimen akan mendapat sokongan dari ahli parlimen demi menaiktaraf peranan mahkamah syariah khusus untuk masyarakat Islam.

"Hasrat PAS Ipoh Barat untuk melihat umat Islam di Perak dapat menikmati sistem perundangan Islam sebaiknya," ujar beliau.

Turut serta dalam pertemuan tersebut, AJK Pemuda PAS Kawasan Ipoh Barat, Ustaz Mohd Adil Fadzil dan Pegawai Penerangan PAS Perak, Hafeez Zahid. – HARAKAHDAILY 30/9/2016

Share on Myspace