Kempen Presiden AS: Lebih baik Malaysia keluar TPPA

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

HARRY CLINTON, DONALD TRUMP TOLAK TPPA HANYA RETORIK KEMPEN POLITIK

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Malaysia melihat semula status perjanjian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), mengambil kira bahawa dua kandidat Presiden Amerika Syarikat (AS), Harry Clinton dan Donald Trump menyatakan pendirian menolak perjanjian TPPA dalam kempen yang sedang dijalankan oleh dua calon ini yang bercita-cita untuk merebut jawatan Presiden AS.

Implikasi terbatalnya perjanjian tersebut, jika AS sendiri menolak TPPA, walaupun AS adalah pelopor kepada perjanjian itu, adalah besar kerana banyak negara anggota temasuk Malaysia yang telah menandatangani perjanjian itu, sedang meretifikasi undang-undang serta dasar negara masing-masing untuk diselaraskan dengan TPPA.

Walaupun begitu, kami tetap merasakan bahawa para pelobi pihak korporat-korporat gergasi di Amerika sememangnya tidak akan duduk diam, kerana TPPA sebenarnya adalah perjanjian yang amat menyebelahi syarikat-syarikat besar Amerika.

TPPA dari awal lagi adalah konspirasi yang digerakkan oleh syarikat korporat AS. Lantaran itu mereka tidak hanya mendengar dan mengikuti kempen Presiden Amarike Syarikat yang berlangsung sekarang secara pasif, malah sebaliknya akan memastikan TPPA diteruskan.

Oleh kerana itu, kami berpendapat gerakan rakyat di negara yang menganggotai TPPA yang telah menentang perjanjian itu sewajarnya bergabung dan menghidupkan kembali gelombang untuk menolak dan membatalkan perjanjian TPPA.

Walaupun kami tidak meletakkan keyakinan kepada pendirian Harry mahupun Trump bahawa mereka menolak TPPA, kami tetap berpandangan bahawa jika rakyat bangkit dengan tegas menolak perjanjian yang bersifat ekploitasi itu, TPPA boleh dibatalkan.

Kerajaan Malaysia perlu mengambil kira perkembangan dari pendirian bakal Presiden AS agar rakyat tidak terus menjadi mangsa kepada sebuah perjanjian yang mengeksploitasi sumber negara.

Adalah lebih baik kerajaan keluar dari TPPA memandangkan ketidaktentuan ekonomi global serta politik AS yang juga mungkin berubah yang mengakibatkan dasar luar AS akan turut bertukar arah. - HARAKAHDAILY 30/9/2016

Penulis ialah Presiden Mapim.

Share on Myspace