Berjasa gesa mufti, semua parti sokong RUU 355

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Berjasa Parti Koperasi yang menyokong pindaan RUU 355, menyeru juga Mufti Pulau Pinang dan pimpinan PAN serta semua parti lain juga menyokong pindaan rang undang-undang itu.

"Marilah kita hala positif ke arah menukar sistem perundangan sekular di Malaysia ini, jika tidak dimulakan maka sampai bila-bila pun tidak dapat keadilan kepada rakyat Malaysia," ujar Presidennya, Datuk Seri Dr Mustapa Kamal Maulut dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Berjasa Parti Koperasi ingin menyuarakan pandangan di tengah-tengah polemik antara Sohibussamah Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim dengan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, bahawa kedua-dua harus mencapai satu titik "at-taawun" iaitu bekerjasama dalam menegakkan kebaikan.

Sebagaimana kita merasai bahawa sistem perundangan sivil di negara Malaysia pada ketika ini tidak dapat memberi kepuasan rasa adil dalam penghukumannya. Sebagai contoh mahkamal sivil Persekutuan Malaysia telah menjatuhkan hukuman penjara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kes liwatnya, namun penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim terus tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Ini adalah satu kes daripada ribuan kes sivil di Malaysia.

Masyarakat Malaysia haruslah proaktif dalam mempromosikan satu sistem perundangan alternatif, yang lebih baik dari perundangan sivil yang sekular ini.

Manakala dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk penduduk Islam. Inilah sistem perundangan yang harus diterokai sebagai alternatif perundangan sivil. Namun had hukuman mahkamah syariah dalam Akta RUU 355 pada ketika ini amat ringan; sekadar 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan.

Berjasa Parti Koperasi mengajak masyarakat dan ahli-ahli parlimen agar memulakan langkah menaik taraf dan memperkasakan Mahkamah Syariah, kerana secara khususnya tugas ahli-ahli parlimen adalah menggubal dan mengemukakan sistem perundangan yang lebih baik, adil dan memuaskan hati rakyat Malaysia. Oleh itu, pindaan RUU 355 adalah permulaan yang baik untuk mewujudkan konsep "at-taawun" kerjasama itu.

Berlainan dengan pandangan Sohibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang menyokong diperkasakan RUU 355, sepatutnya pandangan mufti dengan mufti lain haruslah sehaluan menyokong. Yang dikatakan sehaluan itu ialah ke arah positif iaitu menyokong. Tetapi tidak bagi Mufti Pulau Pinang itu, beliau tidak menyokong. Ia adalah bertentang arah negatif, seiring pula dengan pandangan negatif oleh pandangan Naib Presiden PAN tempoh hari.

Bagi Berjasa Parti Koperasi yang menyokong pindaan RUU 355, menyeru juga Mufti Pulau Pinang dan pimpinan PAN serta semua parti lain juga menyokong pindaan RUU 355. Marilah kita hala positif ke arah menukar sistem perundangan sekular di Malaysia ini, jika tidak dimulakan maka sampai bila-bila pun tidak dapat keadilan kepada rakyat Malaysia.

Memandang lebih jauh sistem perundangan Islam, Berjasa Parti Koperasi merasakan perlu juga dilengkapi Akta RUU 355 dengan kanun muamalat Islam, yang mana ia adalah keperluan dalam sistem ekonomi tanpa riba. Perjanjian muamalat tanpa riba seperti Bai Al Innah, Mudarabah, Musyarakah wa-Mutanakishah dan lain-lain produk tanpa riba, perlu disokong oleh sistem perundangan Islam, supaya menutup kelemahan perjanjian, meningkatkan keyakinan rakyat kepada muamalat Islam, sehingga satu ketika nanti sistem perundangan ekonomi Islam bersedia menggantikan sistem pengadilan ekonomi yang berteraskan riba.

Ayuh rakyat Malaysia dan ahli-ahli parlimen Malaysia, kita menuju negara sejahtera dengan mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah. - HARAKAHDAILY 1/10/2016

Share on Myspace