PAS sedia hilang rakan politik demi Islam

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KEMAMAN: PAS sebagai sebuah parti politik yang bertunjangkan Islam sedia kehilangan rakan politik demi mempertahankan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, PAS akan terus istiqamah dengan Islam meskipun bakal kehilangan rakan politiknya.

Justeru, katanya sokongan anak-anak muda kepada PAS juga semakin meningkat dengan ketegasan itu.

“Demi untuk memartabatkan Islam, kita sanggup kehilangan kawan politik kita. Ada orang kata PAS tak cerdik putus dengan DAP dan PAS tidak akan dapat sokongan orang bukan Islam, kaum Cina, kaum India khususnya di negeri-negeri Pantai Barat.

“Kita nyata dan tegaskan PAS lebih sayangkan Islam dari rakan politiknya. Kita sanggup meninggalkan kawan politik kita kerana kita sayangkan Islam.

“PAS akan terus istiqamah dengan Islam. Bila kita nyatakan pendirian yang tegas ini, orang lihat PAS tidak berganjak, sokongan kepada PAS semakin meningkat kerana Islam ini daripada Allah SWT. Allah Maha Hidup dan sesiapa yang membawa Islam tidak akan mati,” tegasnya.

Beliau berkata demikin ketika merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2016, di Dataran Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.4 di Pekan Kemasik, semalam.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti Islam meletakkan Islam di hadapan dalam usaha memartabatkan agama.

Namun, katanya PAS tidak pula meninggalkan isu-isu semasa lain kerana agama Islam mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

“Bila kita bercakap soal RUU 355 bukan bermakna kita lupa isu-isu lain. Kita tidak lupa dengan isu-isu lain kerana kita sebagai sebuah parti Islam bukan sahaja mengajak kepada kebaikan tapi dalam masa yang sama untuk mencegah kemungkaran.

“Kemungkaran politik yang berlaku dalam negara kita seperti salah guna kuasa, pembaziran, ketirisan dan rasuah. Kita berterusan bercakap isu-isu ini.

“Alhamdulillah, sokongan kepada PAS makin hari makin meningkat. Anak-anak muda dari seluruh pelusuk negara, yang hari ini celik IT (teknologi maklumat) dan mereka boleh lihat, boleh baca, boleh menilai berita-berita dalam handphone masing-masing,” jelasnya di hadapan lebih 5,000 hadirin.

Hadir sama pada majlis itu ialah AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Yang Dipertua PAS Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid. - HARAKAHDAILY 1/10/2016

Share on Myspace