Ukhuwwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah

HARAKAHDAILY | .

PERUTUSAN YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA TAHUN BARU 1438 HIJRIYAH

Allah S.W.T berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, juga orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia". (Al-Anfal: 74)

Tahun 1438 Hijriyah adalah satu lembaran baru dalam kehidupan umat Islam untuk membuat anjakan ke arah memperbanyakan Al-Bir dan Al-Taqwa. Kesatuan umat Islam wajib dibina teguh berasaskan Syariat Allah dan ukhuwwah berpaksikan tolong-menolong dalam perkara kebaikan hendaklah utuh.

Keutuhan ukhuwwah generasi terdahulu telah menyaksikan pelbagai kekuasaan dan kemenangan umat Islam ketika berhadapan dengan situasi sukar. Satu Fikrah Satu Amal telah menjadi asas perjuangan dalam menobatkan agama Allah diatas muka bumi. Gambaran kehebatan ukhuwwah ini pernah dinyatakan oleh Saidina Ali Radhiallahu 'Anhu:

نكون كروح بين جسمين قسمت فجسماهما جسمان والروح واحد

"Kami seumpama satu roh di antara dua jasad yang terpisah. Jasad pada hakikatnya ada dua namun ruh bersatu!"

Keteguhan ukhuwwah seumpama ini sangat diperlukan khususnya pada zaman mutakhir ini yang penuh dengan penyelewengan dan penindasan terhadap umat Islam sendiri. Tanpa kesatuan umat Islam, sudah pasti kita tidak mampu membina tamadun hebat dan hanya menjadi ummah yang dicatur dengan begitu mudah.

Negeri Kelantan yang Membangun Bersama Islam sudah memasuki usia ke-26 tahun dan telah melalui pelbagai mehnah serta liku-liku perjuangan. Sekurang-kurangnya dengan usaha kepimpinan terdahulu dan sekarang, Kelantan dengan model bawaan Islamnya telah bertapak dihati seluruh rakyat negeri ini dan masyarakat luar. Ketika saya dikunjungi oleh wakil Nisa' Al-Aqsa tempohari, saya sangat terharu apabila beliau menyatakan bahawa:
"Sebelum ini kami banyak berjumpa dengan NGO-NGO Islam dalam rangka untuk menarik sokongan kepada perjuangan kami. Namun, pada hari ini kami berjumpa dengan sebuah Kerajaan Islam yang menyokong penuh usaha dan perjuangan kami."

Dengan adanya kerajaan negeri yang telah sekian lama menerapkan dasar Islam, kita mengharapkan Allah sentiasa merahmati dan mengampuni sekalian rakyat negeri ini. Marilah kita bergandingan bahu menjaga kesejahteraan negeri Serambi Mekah ini dengan langkah sederap dan penuh muafakat sehinggalah tuntutan Syariat dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru 1438 Hijriyah

كل عام وأنتم بخير

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
29 Zulhijjah 1437H / 1 Oktober 2016M - HARAKAHDAILY 1/10/2016

Share on Myspace