Penubuhan Ameerah dilancar sempena 60 tahun PAS

HARAKAHDAILY | .

PRESIDEN PAS LANCARKAN PENUBUHAN AMEERAH SEMPENA SAMBUTAN 60 TAHUN PAS (1 OKTOBER 2011)

PADA hari ini dalam tahun 2011, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah melancarkan sayap muslimat muda PAS, Ameerah sempena Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang. Ameerah adalah produk terbaru Dewan Muslimat PAS Pusat yang diwujudkan oleh Lajnah Poitik Wanita Muda Dewan Muslimat PAS Pusat. Ketuanya, Senator Mumtaz Nawi yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat berkata penglibatan wanita adalah melangkaui segenap aspek kehidupan termasuk politik dalam menjayakan siyasah syar'ieyah.

Menurut Ahli Dewan Negara dari Kelantan itu, dalam sejarah PAS, Muslimat bukan sahaja pernah bertanding dalam pilihan raya, bahkan menjadi wakil rakyat. Di luar Parlimen, Muslimat PAS menjadi tenaga penting parti, termasuk dalam jentera pilihan raya di peringkat Pusat, Negeri, Kawasan, DUN dan UPU. Penglibatan Muslimat juga tidak terhenti dengan generasi tua sahaja, tetapi mesti melibatkan Muslimat muda dari pelbagai profesion yang boleh menyumbang untuk kemajuan agama, khususnya dalam perjuangan PAS menegakkan Islam.

Sambutan 60 Tahun PAS telah diadakan pada 30 September hingga 1 Oktober 2011 di Kepala dengan pengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu. Dalam sambutan ini, acara karnival dan pameran sejarah 60 tahun PAS diadakan selama dua hari, di samping forum dan kongres tentang peranan PAS sebagai sebuah parti politik yang mahu menyelamatkan ummah. Pada malam terakhir, ucapan perdana yang diadakan turut melibatkan pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Guang Eng. Dalam Majlis Perasmian Sambutan 60 Tahun PAS pada 1 Oktober 2011, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melancarkan Ameerah dan Gelombang Epal Hijau.

Pelancaran Ameerah yang dibuat dalam majlis Sambutan 60 Tahun PAS adalah simbol kematangan perjuangan PAS, kata Senator Mumtaz Nawi. Majlis sambutan selama dua hari ini turut diserikan oleh pelancaran Gelombang Epal Hijau yang juga merupakan projek Dewan Muslimat PAS Pusat. Ketika melancarkan Ameerah, Presiden PAS berkata pengorbanan para Muslimat dalam perjuangan Islam akan mendapat pahala yang tinggi di sisi Allah. Menurut beliau, hanya Muslimat yang lulus ujian, iaitu yang tidak kedekut masa dan harta untuk kemenangan Islam akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Dalam pada itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Zailah Yusof menyeru Muslimat muda supaya mematangkan diri dalam perjuangan Islam.

Ameerah dari segi bahasa bermaksud pemimpin wanita atau puteri. Ia mendukung visi ke arah kepemimpinan politik wanita muda bertaraf dunia dengan misi 3P - Politik, Patriotisme dan Partipasi. Fokus utama Ameerah adalah untuk menggiatkan kesedaran politik wanita muda, melahiran semangat patriotisme kepada negara dan meningkatkan partisipasi wanita dalam masyarakat. Sebagai satu entiti Dewan Muslimat PAS Pusat, Ameerah dipimpin Fareedah Samad sebagai Pengerusinya sejak 2011.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 1/10/2016

Share on Myspace