Perutusan Presiden PAS sempena 1438 Hijriyah

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Al-Baqarah: 218)

Alhamdulillah, syukur kita panjatkan kepada Allah SWT kerana masih diberikan peluang untuk bertemu dengan tahun baru 1438H. Peluang yang Allah berikan pastinya menuntut tanggungjawab dan amanah yang besar buat Islam dan ummah seluruhnya

Ambang 1438H dibuka dengan lembaran harapan penghayatan kepada semangat hijrah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda. Semangat persaudaraan Islam sebenar yang berjaya membina sebuah  negara contoh yang menjadi model negara terbaik.

Ambang 1438H juga menuntut semangat pengorbanan umat Islam dan pemimpinnya dalam menjelmakan semula semangat hijrah, iaitu pengorbanan ke arah tauhid yang sebenar kepada Allah SWT yang menjadi asas kepada pembinaan jati diri ummah yang tulen seterusnya membina masyarkat yang beriman dan berakhlak  dan seterusnya negara yang aman dan sejahtera.    

Lembaran 1438H dibuka dalam suasana yang sangat mencabar buat umat Islam di seluruh dunia. Di Malaysia yang tercinta ini, kita menyambut tahun baru hijrah dengan usaha untuk memperkasa dan memartabatkan undang-undang Islam.  

Usaha murni yang dipelopori oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini telah mendapat reaksi yang pelbagai daripada masyarakat. Sokongan padu dan usaha kuat yang ditunjukkan oleh organisasi-organisasi Islam, NGO-NGO Islam dan masyarakat Islam untuk menjayakan usaha murni ini sangat mengujakan. Keadaan ini memberikan satu harapan besar ke arah penyatuan ummah setelah sekian lama dipecahkan oleh blok-blok politik dan pemikiran yang pelbagai yang ditinggalkan oleh penjajah.

Saya mewakili seluruh kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut tahun baru 1438H.  

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
1 Muharram 1438 /2 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace