Hijrah: Bangga dengan sejarah dan identiti muslim

HARAKAHDAILY | .

Kesyukuran setulusnya kepada Rabbul Jalil yang telah mempedomankan Rasulullah s.a.w kepada umat, agar mengerti akan intisari episod Hijrah dalam sejarah Nubuwwah menyampaikan Risalah Dinnul dengan segala keindahan dan kesyumulan dan kesempurnaannya.

Kita sambut untuk kesian kalinya kehadiran 1 Muharram sebagai kalendar Hijrah yang menjadi petanda kepada jadual hidup umat, bangga dengan sejarah dan identiti kita sebagai Muslim yang memiliki periode tersendiri untuk mengatur hidup dengan kerangka masa dan ruang kita sendiri.

Hijrah sebagai agenda anjakan perlu diteliti sebagai sebuah islah dalam proses memperbaiki diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam menghayati erti Hijrah terkandung di dalamnya sisi muhasabah yang mendalam untuk mengukur status diri sebagai Muslim yang telah beraqad dengan Allah SWT untuk kekal istiqamah dan meningkatkan pengabdian diri kepada Allah SWT dan kebaktian kepada manusia.

Demikian pengertian dan tuntutan sebenar Hijrah dengan maksud merubah diri dan beriltizam dengan Islam.

Kita melangkah untuk memasukki tahun yang baru, berjanji agar kelemahan dan kedhaifan diri diatasi, demi menunaikan janji syahadah kita bahawa penghayatan Islam perlu bersifat kaaffah. Menolak Islam yang diamalkan dengan cara memilah-milah agama Allah mengikut kesesuaian kehendak nafsu diri. Patuh dan akur bahawa syahadah bermaksud penyaksian terhadap Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT sebagai Sang Pencipta yang Maha Agung dan Maha Perkasa.

Meneliti keadaan umat yang dipenuhi pergelutan yang tenat dari asakkan musuh dari segenap penjuru, sama ada politik, ekonomi, militari, budaya mahupun sosio-budaya. Kesannya wilayah Muslim diceroboh semahunya oleh kuasa luar. Sumber bumi kaum Muslimin dieksploitasi semaksimumnya. Politik umat diporak perandakan sehingga semua partai dalam negara Muslim bertelingkah dan bertempur sesama sendiri akibat strategi pecah dan perintah yang masih menjadi formula paling berkesan untuk menguasai umat Islam.

Namun yang lebih menggusarkan ialah kemelut dalaman umat itu sendiri. Dari khilaf siasah hingga konflik perang saudara telah meragut ratusan ribu nyawa, mengusur jutaan rakyat menjadi pelarian merempat di negara orang lain sehingga menghancurkan nasib jutaan kanak-kanak Muslim atas nama menegakkan Islam.

Laungan takbir berkumandang di serata bumi orang Muslim, akan tetapi laungan untuk mengabsahkan pembunuhan sesama sendiri.

Pergolakan umat merentas sempadan dan aliran. Konflik berciri sektarian, berpuak-puak dengan idoelogi dan aliran masing-masing, merasa tidak bermasalah untuk mendera saudara seaqidah, menyembelih mereka yang memilikki Al Quran yang satu, berkiblat yang satu dan berRasul yang satu.

Akibatnya umat Islam lebur dari semua arah. Persaudaraan dinyahkan dan kesatuan digadai. Ekonomi umat diperkuda. Sosiobudaya Msulimin dicemari dengan amalan jahiliyyah moden. Pentadbiran hilang integriti. Pemerintah negara sarat dengan korupsi dan kepincangan.

Yang tinggal ialah ruang untuk meneruskan persengketaan yang semakin diperluaskan. Sumber umat dibolot semahunya oleh musuh. Pemimpin menyerah diri untuk diperalat oleh kuasa luar sehingga tidak lagi mengutamakan kesejahteraan umat.

Akhirnya musuh meraih keuntungan. Musuh merayakan kemenangan dan kaum Muslimin menjadi debu berserakan dan buih yang terapung ditolak ke sana ke mari tanpa arah, menunggu pecah dan akhirnya lenyap ditelan gelombang dan arus yang direncana oleh tangan-tangan dari luar.

Hijrah kali ini menyaksikan keadaan umat yang sangat mendambakan ubat yang mujarab untuk merawat problem yang tenat sekarang ini. Qadiyyatul Ummah (permasalahan ummat) semakin kusut yang memerlukan overhaul penuh.

Sebab itu Hijrah seharusnya menjadi perangsang yang boleh menyuntik pembaikan dan seterusnya transformasi umat yang total.

Lantaran itu perutusan kami pada kali ini adalah untuk meningkatkan kewaspadaan, keprihatinan dan kepedulian umat.

Selamat Berijrah, Selamat Berbakti.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Mapim dan Teras. - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace