Tahniah atas Anugerah Khas Maal Hijrah 1438

HARAKAHDAILY | .

PAS mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada keluarga Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang telah dikurniakan Anugerah Khas Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1438. Sesungguhnya jasa dan komitmen yang tinggi oleh Almarhum dalam menegakkan syiar Islam dan memartabatkan Syariah di negara ini tidak dapat sekali-kali dinafikan.

PAS juga menyambut baik penganugerahan Khas Maal Hijrah kepada Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din oleh pihak kerajaan yang diumumkan oleh YB Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi. Sesungguhnya ia satu pemilihan yang tepat, penghargaan yang wajar dan pengiktirafan yang selayaknya terhadap perjuangan dan kepimpinan Almarhum.

Almarhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din yang juga menyandang jawatan Mursyidul Am PAS sehingga ke penghujung hayat beliau pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor pada tahun 1432H bersamaan tahun 2010. Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj mewakili Sultan Selangor.

Penganugerahan Khas Maal Hijrah 1438 tersebut adalah satu pengiktirafan kepada jasa besar Almarhum dalam banyak bidang seperti ekonomi Islam, pendidikan, perubatan Islam, dakwah dan jihad fi sabilillah. Bukan sahaja di peringkat nasional malah juga di peringkat antarabangsa.

Apa yang lebih penting, perjuangan dan kesungguhan yang jitu oleh Almarhum dalam memartabat syariah di tanah air ini seharusnya menjadi ikutan dan panduan oleh seluruh masyarakat muslim, khususnya pendukung perjuangan Islam PAS. Benarlah, bukan kita yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, bahkan kita hanya penyambung mata rantai perjuangan.

"Hijrah Ke Arah Memartabatkan Syariah"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
1 Muharram 1438 / 2 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace