1438H: Bersatu padu untuk memartabat Islam

HARAKAHDAILY | .

Kata Nabi SAW:

أفضل الصيام بعد شهر رمضان شهر الله الذي تدعونه المحرم. و أفضل الصلاة بعد الفريضة قيام الليل
(رواه مسلم)

Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Allah yang kamu namakannya Muharram. Manakala sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah qiamullail.

Saya mewakili seluruh anggota Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti) mengucapkan selamat menyambut tahun baru Islam 1438.

Sesungguhnya kita umat Islam sangat dianjurkan bermuhasabah amalan kita yang telah lalu dan beriltizam untuk memperbaiki kelemahan serta menambah amal soleh kita di masa mendatang.

Justeru, bersempena kita memasuki tahun baru ini, saya seru diri saya dan seluruh rakyat Terengganu yang beragama Islam agar bersatu padu untuk memartabatkan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh. Setiap masalah yang dihadapi, mari kita sama-sama mencari jalan penyelesaiannya dalam Islam. Tidak kira sama ada masalah politik, ekonomi, sosial dan lainnya.

Tiada kejayaan sebenar melainkan dengan cara beramal dengan Islam. Berpolitiklah dengan politik Islam. Berekonomilah dengan ekonomi  Islam. Bermuamalahlah dengan muamalah Islam. Berakhlaklah dengan akhlak Islam.

Di kesempatan ini juga, saya mengajak kalian perbaiki dan pertingkat kualiti rohaniyyah kita dengan perbanyakkan puasa bersempena Muharram khususnya pada 9 dan 10 Muharram nanti kerana ianya dianjurkan oleh Nabi SAW.

Akhir kata, saya petik kata-kata Syeikh Ibrahim al-Laqani, seorang ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah, pengarang kitab Jauharah at Tauhid:

كل خير في اتباع من سلف و كل شر في ابتداع من خلف

Setiap yang baik ialah mengikut golongan terdahulu dan setiap yang buruk ialah pada membidaahkan golongan terkemudian.

AMAR MA'ARUF NAHI MUNKAR

Wan Mohd Faizul Wan Abas
Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf
1 Muharram 1438 - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace