Hijrah ke arah memartabat syariah

HARAKAHDAILY | .

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, juga orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia".  (Al-Anfal:74)

Marilah kita semua, sempena tahun baharu Hijriah pada hari ini, kita mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang merupakan peristiwa terbesar sejarah bukan sahaja kepada Islam bahkan sejarah dunia seluruhnya.

Ia merupakan satu detik perubahan merombak sistem, membawa kepatuhan secara total kepada umat manusia, justeru tujuan dan matlamat utamanya ialah, melaksanakan syariat Allah di muka bumi ini.

Menggantikan segala macam bentuk syirik, daripada penyembahan patung-patung dan berhala, menyembah manusia dan dunia kepada menyembah Allah hanya sanya tuhan, dengan menjadikan segala perintah dan larangan Allah mengatur kehidupan manusia melalui satu sistem perundangan dari Allah semata-mata, berpandukan kitabNya Al-Quran dan hadis RasulNya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW dan para sahabat telah membayar harga yang paling mahal untuk memartabatkan syariah Allah, dengan diri dan jiwa mereka menyaksikan pengorbanan yang tiada pernah dilihat dalam tamadun manusia.

Watak-watak seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Omar, Saidina Ali, Suhaib dan banyak lagi membuktikan pengorbanan mereka untuk melakukan hijrah ini bagi tujuan pelaksanaan syariah, menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai perlembagaan, hukum tertinggi yang memerintah sebuah negara berbilang kaum dan pelbagai bangsa, Madinah al-Munawwarah.

Oleh itu, hijrah juga adalah merupakan suatu jihad untuk merubah manusia dan berubah dari sesuatu yang buruk kepada yang lebih baik. Seungguhnya tiada yang lebih baik kepada manusia di dunia ini selain dari syariah Allah, yang memandu kehidupan sehingga ke alam akhirat.

Saya menyeru kepada semua rakyat negeri Terengganu agar berani untuk melakukan penghijrahan, memilih pemerintahan yang lebih baik.

Berubah kepada keadaan siasah dan pentadbiran negeri yang tidak stabil kepada keadaan yang yang lebih menjamin masa hadapan kita dan anak cucu kita, dari kegawatan ekonomi serta kos sara hidup yang membebankan disebabkan rasuah dan urus tadbir yang buruk, kepada pengurusan Islam yang jauh lebih adil dan saksama.

Selamat menyambut Hijratul Rasul.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru 1438 Hijriyah

كل عام وأنتم بخير

HAJI SATIFUL BAHRI MAMAT
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka
1 Muharram 1438 / 2 Oktober 2016 - HARAKAHDAILY 2/10/2016

Share on Myspace